Pegawai imigresen disyaki manipulasi permohonan amah dalam talian ditahan
2026-03-10 - 05:55
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata pegawai itu ditahan dalam operasi khas di sekitar Setia Tropika, Johor Bahru semalam. (Gambar Freepik) PETALING JAYA: Seorang pegawai imigresen ditahan di Johor semalam kerana disyaki menjadi ‘pemudah cara’ dalam proses permohonan pembantu rumah asing (PRA). Lelaki 31 tahun itu dipercayai meluluskan pas lawatan kerja sementara (PLKS) kategori PRA kepada individu tidak layak. Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata pegawai itu ditahan dalam operasi khas di sekitar Setia Tropika, Johor Bahru selepas kegiatan penyalahgunaan pas dan manipulasi sistem permohonan PRA dalam talian terbongkar. “Pasukan operasi turut menyita seunit telefon bimbit dan beberapa dokumen dipercayai berkaitan kegiatan terbabit,” katanya menurut Berita Harian. Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang pegawai imigresen lelaki dan wanita turut diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. Menurutnya, kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen Jabatan Imigresen mempergiat penguatkuasaan undang-undang dan memperkukuh pemantauan terhadap sistem digital bagi memastikan kemudahan imigresen negara tidak disalahgunakan.