TheMalaysiaTime

PBSL bantu kerajaan jimat RM50 sehari bagi setiap prospek

2026-03-17 - 06:43

Sebahagian prospek yang dibebaskan melalui program pelepasan banduan secara lesen sempena Aidilfitri tahun ini bergambar bersama wakil majikan (tiga dari kanan) di Penjara Kajang. KAJANG: Program pelepasan banduan secara lesen (PBSL) membantu kerajaan menjimatkan kos kira-kira RM50 sehari bagi setiap prospek dilepaskan, kata Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur, Aminon Adnan. Beliau berkata, 937 prospek layak dilepaskan melalui program PBSL di seluruh negara sempena Aidilfitri tahun ini. Mereka terdiri daripada 899 lelaki dan 38 wanita yang majoritinya melakukan kesalahan ringan dengan tempoh hukuman lebih singkat. Menurutnya, semua prospek telah menjalani proses penilaian ketat, termasuk aspek disiplin, tahap pemulihan, sokongan keluarga serta jaminan penempatan selepas dibebaskan. “Kita tidak lepaskan sewenang-wenangnya. Ada tapisan ketat, penilaian risiko dan pemantauan berterusan oleh pegawai parol bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin,” katanya selepas Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen Madani Yakin (Kepulangan Yang Dinanti) di Penjara Kajang. Selain penjimatan kos, beliau berkata, program PBSL juga memfokuskan pemulihan berasaskan komuniti dengan menyediakan sokongan pekerjaan dan keluarga. “Sebahagian daripada mereka ditempatkan terus bekerja dengan majikan, selain ada yang kembali kepada keluarga atau ditempatkan di rumah perantaraan.” Sementara itu, seorang prospek dikenali Nazrin bersyukur terpilih menyertai program itu dan dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga. “Saya tak sangka dapat pembebasan awal. Dapatlah cari rezeki di luar untuk keluarga. Harap masyarakat beri peluang kepada kami untuk berubah.” Wakil syarikat Nam Bee Tyre Retreading Sdn Bhd, Asyiqeen Abdul Jalil, berkata pihaknya sentiasa bersedia memberi peluang pekerjaan kepada prospek. “Ini peluang kedua untuk mereka bina masa depan. Kita juga dapat lihat kemahiran yang mereka ada dan beri ruang untuk mereka bekerja.”

Share this post: