TheMalaysiaTime

Patah 2 paha, Amyza bekas UTK bangkit semula jadi pengawal peribadi

2026-03-23 - 00:20

Amyza Yaacob anggap ujian dihadapinya sebagai peluang untuk memperbaiki diri. PETALING JAYA: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Amyza Yaacob tidak menyangka masih mampu berdiri dan meneruskan kehidupan selepas kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya, Julai tahun lalu. Lebih mengharukan, wanita berusia 38 tahun itu kini kembali menyarung seragam pengawal peribadi, kerjaya pernah diceburinya sebelum tragedi itu selain berpeluang menyambut Aidilfitri tahun ini. Sebelumnya Ameyza pernah ditugaskan menjaga keselamatan Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan perdana menteri wanita pertama dan selepas itu menjadi pengawal peribadi ahli perniagaan. Mengimbau semula kemalangan itu, dia yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan berkata motosikal ditungganginya dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur sebelum melanggar belakang sebuah kereta berhenti di bahu jalan dipercayai untuk menukar pemandu “Akibat kemalangan itu, kedua-dua paha saya patah, lutut kanan hancur dan saya mengalami pendarahan organ dalaman,” katanya sebak mengenangkan tempoh pemulihan yang perlu dilaluinya termasuk tiga minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh. “Banyak kali saya menangis di hospital. Saya tidak sangka perkara ini akan berlaku pada diri saya,” katanya kepada FMT. Amyza Yaacob pernah menjadi pegawai pengiring bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Situasi menjadi lebih mencabar apabila kontrak kerjanya tidak disambung menyebabkannya hilang pekerjaan serta sumber pendapatan tetap. Namun, sokongan keluarga serta dua sahabat baiknya Amira Yusuf dan Siti Khadijah Hasan menjadi kekuatan untuknya bangkit semula. “Mereka uruskan saya, mandikan, jaga makan dan bawa saya ke tandas. Itu kawan satu dalam seribu,” katanya sebak. Di media sosial, ramai pengikut turut memberi sokongan dan mendoakan kesembuhannya, tetapi ada juga mempersoalkan keputusannya meninggalkan polis. “Sejak awal lagi sebelum berhenti, saya sudah bersedia dengan apa juga kemungkinan. Rezeki tidak pernah salah alamat. “Alhamdulillah, awal tahun ini saya ditawarkan menjadi pengawal peribadi kepada isteri seorang ahli perniagaan,” katanya. Bagi Amyza, kemalangan dialaminya bukan sekadar ujian, tetapi peluang kedua untuk memperbaiki diri dan menghargai kehidupan. “Allah beri saya cuti dan rehat. Dia juga beri saya peluang kedua,” katanya.

Share this post: