TheMalaysiaTime

Pasukan khas bomba turun kerana bimbang kebocoran gas

2026-01-29 - 08:21

Pasukan khas bomba melakukan pemeriksaan di sebuah klinik di Jelutong. (Gambar JBPM) PETALING JAYA: Pasukan khas bomba digerakkan ke sebuah klinik kesihatan di Jelutong, Pulau Pinang susulan kebimbangan mengenai kebocoran gas, apabila seorang juruteknologi makmal dibawa ke hospital kerana tidak sedarkan diri. Keadaan di klinik yang terletak di Taman Desa Green itu dipastikan selamat, selepas Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) mendapati tiada unsur kebocoran gas dan tiada tumpahan bahan kimia. “Bomba membuka tingkap bagi menstabilkan kandungan udara di dalam ruang terlibat. Setelah mendapati bacaan kandungan oksigen di ruang terlibat berada pada tahap normal dan memastikan keadaan adalah selamat, komander operasi lapor operasi tamat,” menurut kenyataan. Dalam pada itu, bomba memaklumkan mangsa terbabit, yang sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang, mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri dalam kejadian itu. Seramai 15 anggota dari tiga balai, diketuai A’azelan Hassan selaku komander, bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.13 pagi tadi. Jentera pertama tiba pada 9.27 pagi.

Share this post: