TheMalaysiaTime

Pasukan darat ‘bukan sebahagian pelan’ operasi di Iran

2026-03-05 - 04:13

Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata keputusan menyerang Iran dibuat berdasarkan kesan kumulatif pelbagai ancaman langsung diberikan Iran kepada AS selama 47 tahun. (Gambar EPA Images) WASHINGTON: Rumah Putih berkata, kerahan tentera Amerika Syarikat (AS) ke Iran ketika ini bukan sebahagian strategi ketenteraan pentadbiran Donald Trump, namun tetap ada kemungkinan pilihan itu berubah, lapor Anadolu Ajansi. “Buat masa ini, mereka bukan sebahagian daripada rancangan untuk operasi ini,” kata jurucakap Karoline Leavitt kepada pemberita di Pentagon pada Rabu. Kenyataannya dibuat di tengah-tengah serangan AS-Israel ke atas Iran sejak 28 Feb lalu yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan pegawai keselamatan tertinggi. Tehran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan tapak berkaitan Israel serta AS di negara Teluk. Enam anggota tentera AS terkorban dan beberapa lagi cedera. Pengerusi Ketua Staf Bersama, Jen Dan Caine, ditanya mengenai kemungkinan mengerahkan pasukan darat di Iran. “Saya tidak akan mengulas kehadiran tentera AS di darat. Saya fikir itu soalan untuk penggubal dasar dan saya tidak membuat dasar, saya melaksanakan dasar,” kata Caine. AS sedang bergerak ke arah “kawalan lengkap dan menyeluruh” ruang udara Iran, kata Leavitt sambil menambah lebih 2,000 sasaran diserang. Beliau berkata, Trump berhasrat menghadiri istiadat penghantaran pulang enam anggota tentera AS “untuk berkongsi kesedihan bersama keluarga mereka”. “Saya difahamkan Jabatan Perang sedang menjadualkan pemindahan ini dan kami akan memberikan kemas kini pada masa sesuai.” Leavitt turut menyokong matlamat AS dalam kempen udara bersama Israel-AS ke atas Iran di sebalik kritikan bahawa pentadbiran itu tidak menunjukkan bukti ancaman mendesak yang didakwa dicetuskan Tehran terhadap Washington. “Keputusan melancarkan operasi ini berdasarkan kesan kumulatif daripada pelbagai ancaman langsung yang diberikan Iran kepada AS,” katanya sambil menambah rejim itu mengancam AS selama 47 tahun. Menurutnya, Trump sedang berunding dengan pasukan keselamatan berhubung potensi peranan AS di Iran sebaik saja operasi ketenteraan semasa berakhir. “Kami telah melihat laporan itu, sudah tentu, dan ini sesuatu yang sedang diperhatikan agensi perisikan kami. Hakikatnya, kita perlu tunggu dan lihat,” kata Leavitt berhubung laporan media menyatakan Mojtaba Khamenei, anak kepada Ali Khamenei, muncul calon utama menggantikannya. Mengenai laporan mendakwa pentadbiran Trump mempertimbangkan untuk pasukan Kurdish dilengkapi senjata dengan harapan berlaku pemberontakan di Iran, Leavitt berkata, Trump membuat banyak panggilan kepada rakan kongsi, sekutu dan pemimpin di Timur Tengah. “Beliau bercakap dengan pemimpin Kurdish berhubung pangkalan AS di utara Iraq. Tetapi, bagi mana-mana laporan yang mencadangkan presiden bersetuju dengan rancangan sedemikian adalah palsu sama sekali dan tidak patut ditulis.”

Share this post: