TheMalaysiaTime

Pastikan persempadanan semula kawasan Sarawak adil, pengerusi SPR diberitahu

2026-03-07 - 11:53

Pada Julai tahun lepas, DUN Sarawak lulus usul tambah bilangan kerusi DUN daripada 82 kepada 99. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun agar memastikan integriti proses persempadanan semula bagi PRN Sarawak akan datang, berikutan penularan slaid-slaid yang didakwa memperincikan 17 kawasan DUN baharu yang memberi kelebihan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS). Menurut kumpulan-kumpulan itu, slaid tersebut mendedahkan kawasan yang akan menerima kerusi, komposisi etniknya, pengagihan dalam kalangan parti komponen GPS, malah nama yang dicadangkan untuk kawasan baharu terbabit. Kata mereka, pelan itu turut mengesyorkan penambahan kerusi di 14 daripada 31 kawasan Parlimen di Sarawak, termasuk di kawasan kecil seperti Tanjong Manis, sedangkan kawasan-kawasan padat seperti Bandar Kuching tidak menerima kerusi tambahan. Jumlah pemilih dalam peta yang dicadangkan itu merekodkan perbezaan ketara antara 10,830 hingga 114,750 pengundi, dan konsep ‘pemberatan kawasan’ dilihat diaplikasikan secara tidak konsisten, tambah mereka. Kumpulan-kumpulan tersebut, terdiri daripada Projek Sama, Bersih, Engage, ROSE Sarawak, dan Tindak, turut mempersoalkan laporan yang mendakwa pegawai SPR mengadakan pertemuan dengan wakil politik pada 2024. “Masih bolehkah rakyat Sarawak menaruh kepercayaan terhadap integriti dan sikap saksama pejabat SPR Sarawak?” soal kumpulan-kumpulan itu dalam kenyataan bersama. “Apakah SPR akhirnya akan menerima atau dipengaruhi oleh peta yang begitu teknikal, terperinci dan menyeluruh ini, yang melakar 17 kerusi baharu bagi menjamin kemenangan GPS serta mengukuhkan penguasaan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu)? “Atau adakah SPR akan membuktikan kebebasannya dengan menentang cadangan sedemikian dan bertindak berani melaksanakan sempadan pilihan raya yang adil bagi Sarawak?” Kumpulan-kumpulan itu mendesak Ramlan mengesahkan sama ada beliau pernah meneliti atau meluluskan pelan tersebut, di samping memastikan proses persempadanan semula itu mematuhi ketetapan perlembagaan bagi mewujudkan perwakilan pengundi yang lebih seimbang. Mereka turut menuntut pelaksanaan konsep ‘pemberatan kawasan’ yang telus bagi kawasan bersaiz besar dan berpenduduk kurang padat, serta menyarankan agar kawasan yang mempunyai kepadatan pengundi yang terlalu tinggi dikaji semula. Malah, mereka menggesa agar kajian persempadanan semula itu dimulakan segera bagi membolehkannya selesai menjelang 14 Julai 2027, iaitu dalam tempoh dua tahun selepas pertambahan kerusi diluluskan. Julai tahun lepas, DUN Sarawak meluluskan usul untuk menambah bilangan kerusi DUN daripada 82 kepada 99. Sebelum ini, FMT turut melaporkan bahawa PBB dijangka menerima 10 kerusi negeri, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tiga kerusi, manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif masing-masing memperoleh dua kerusi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, SPR akan menentukan garis masa dan perincian kajian persempadanan semula itu susulan tamatnya tempoh lapan tahun perlembagaan bagi Sarawak pada 21 Ogos 2023.

Share this post: