TheMalaysiaTime

Pasangan laku kelucahan melampau di jirat Cina dipenjara setahun

2026-03-26 - 04:31

Halila Abu Bakar dan M Jegathesan diiringi polis di Mahkamah Majistret George Town. GEORGE TOWN: Seorang lelaki dan seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah melakukan kelucahan melampau di tanah perkuburan Cina Batu Gantong pada Ahad lepas. Majistret Nadratun Naim Saidi memerintahkan M Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, untuk mula menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap iaitu 23 Mac, sehari selepas hari kejadian. Tuduhan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran sebagai amaran kepada orang awam supaya tidak melakukan perbuatan tidak senonoh. Tambahnya, jenayah itu bertambah serius memandangkan pasangan itu tidak mempunyai ikatan perkahwinan. Sementara itu, peguam R Purantharan memohon hukuman yang lebih ringan bagi kedua-dua tertuduh, dengan alasan Jegathesan perlu menanggung dua orang anak serta isterinya yang menghidap penyakit strok, manakala Halila tidak bekerja dan ditanggung oleh keluarga.

Share this post: