PAS tak gopoh pilih ketua pembangkang, kata Hadi
2026-02-27 - 06:04
Hadi Awang berkata PAS juga mahu berunding rakan Perikatan Nasional (PN) sebelum buat keputusan calon pengganti Hamzah Zainudin. PETALING JAYA: PAS tidak akan bersikap diktator dan gopoh dalam menentukan ketua pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu, 13 Feb lalu. Presidennya Abdul Hadi Awang berkata selain mahu berunding rakan Perikatan Nasional (PN), parti itu mahu fokus kepada membangkitkan isu rakyat sebelum persidangan Parlimen kali ditanguhkan pada 5 Mac depan. “Parlimen tinggal dua hari lagi dan tak perlu kita gopoh. Kena ambil masa, tambahan pula dalam dua tiga hari ini banyak masalah rakyat, masalah kedaulatan negara dan perjanjian (antarabangsa). “Ahli Parlimen kita sedang sibuk bincang masalah-masalah ini. Jadi tak sempatlah cepat sangat, bagi peluang selesaikan masalah rakyat dulu,” katanya kepada pemberita di Marang, Terengganu. Tambahnya, proses pelantikan itu tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat (Standing Order) Parlimen yang memerlukan sokongan daripada ahli Parlimen pembangkang sendiri. “Mungkin kita tengok masa sesi persidangan akan datang (untuk pelantikan). Kita tidak mahu ahli Parlimen kita makin kecil, kita nak supaya makin ramai, bukan sahaja daripada PN, PAS dan Bersatu, kalau parti lain nak sertai pun kita ambil kira,” katanya. Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, R Sri Sanjeevan mendakwa PAS dilihat membisu apabila tidak menggantikan segera Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang, selain menuduh rakan komponen dalam PN itu sebagai berpura-pura. Katanya, parti itu sudah menghantar surat rasmi supaya Hamzah digantikan susulan pemecatan bekas timbalan presiden Bersatu tersebut pada 13 Feb lalu. Kedudukan Hamzah menjadi tidak menentu sejak dipecat Bersatu akibat perebutan kepimpinan dalaman dengan Presiden Muhyiddin Yassin. Hamzah sebelum ini dilantik sebagai ketua pembangkang selepas kerajaan perpaduan dibentuk, hasil cadangan PAS, walaupun ketika itu Muhyiddin masih menjadi pengerusi PN. Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Ahad lalu setuju PAS mengambil alih jawatan itu.