PAS Sarawak sasar Beting Maro, 3 kerusi lain pada PRN
2026-03-07 - 04:03
Pesuruhjaya PAS Sarawak Arifiriazul Paijo tewas kepada penyandang GPS Razaili Gapor di Beting Maro dengan majoriti 1,711 undi pada PRN 2021. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: PAS Sarawak merancang bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi pada PRN akan datang, termasuk di Beting Maro. Pesuruhjaya negeri, Arifiriazul Paijo, berkata parti itu meningkatkan kehadirannya di Beting Maro dengan membuka pusat khidmat dan pendekatan berkala kepada penduduk. Pada PRN 2021, Arifiriazul yang bertanding di Beting Maro tewas kepada penyandang, Razaili Gapor dari GPS dengan majoriti 1,711 undi. Arifiazul berkata, PAS Sarawak terbuka meletak calon bukan Islam melalui sayap penyokongnya (DHPP), dengan memetik contoh Clement Bayang yang bertanding di DUN Kakus pada 2016. Menurutnya, parti itu berusaha mengadakan libat urus dengan seberapa ramai pihak berkepentingan mengikut kemampuannya dan terbuka kepada pelbagai bentuk kerjasama dengan parti lain, termasuk Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). “Jika PBDS mahu bekerjasama, kami terbuka untuk berbincang. Kami tidak menutup pintu kepada mana-mana pihak. “Selagi ada titik persamaan, prinsip kami mudah: jika ia memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dan Sarawak secara keseluruhan, kami bersedia bekerjasama. “Presiden PBDS, Dr John Brian Anthony, pernah menjadi kawan baik kami, jadi kemungkinan itu boleh berlaku pada masa depan,” katanya menurut Dayak Daily selepas majlis berbuka puasa di Kuching semalam. Tetapi, Arifiriazul berkata, tiada rundingan dengan DAP disebabkan dinamik politik persekutuan semasa. “Politik sangat dinamik. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Hari ini mereka mungkin menentang kita, tetapi mereka mungkin jadi kawan kita pada masa depan.” PAS Sarawak kini tidak memiliki sebarang kerusi dalam Dewan Undangan Negeri. Pada 2021, parti itu hanya bertanding di Beting Maro, tetapi tewas, di mana GPS meraih kemenangan besar dengan menang 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan. PAS bertanding 11 kerusi pada 2016 dan lima pada 2011, tetapi semuanya kalah. PRN Sarawak seterusnya dijadualkan pada Februari 2027.