TheMalaysiaTime

Parlimen terima permohonan maaf Takiyuddin kait APMM peristiwa Memali

2026-03-03 - 06:43

Pada 5 Dis lalu, Jemaah Menteri bersetuju Takiyuddin Hassan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataan mengaitkan latihan APMM dengan peristiwa Memali. (Gambar Facebook) KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menerima permohonan maaf daripada Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mengakui kesilapannya terhadap dakwaan mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan peristiwa Memali pada Okt lalu. Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan berlaku kekhilafan dalam isu itu dan Takiyuddin sudah membuat memohon maaf mengenainya pada 4 Dis tahun lalu. “Setelah menerima sejumlah dokumen dari Ahli Parlimen Kota Bharu dan jumpa semua pihak ketua pengarah APMM, ketua polis Terengganu dan ketua polis Daerah Marang dan saya putuskan ada kekhilafan. “Maknanya hari ini juga, Kota Bharu sudah pun memohon maaf. Saya rasa dalam bulan Ramadan yang baik ini, saya terima baik permohonan maaf itu,” katanya di Dewan Rakyat. Selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Takiyuddin yang juga ketua whip Perikatan Nasional (PN), sekali lagi memohon maaf berhubung kenyataan yang mengaitkan latihan APMM dengan peristiwa Memali semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi KDN. Beliau meminta Johari mempertimbang sebarang cadangan yang mahu merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Takiyuddin turut menegaskan tidak mempunyai niat untuk menghina penjawat awam kerana beliau juga pun pernah menjadi penjawat awam dan menjagany ketika menjadi menteri sebelum ini. Pada 5 Dis lalu, Jemaah Menteri bersetuju Takiyuddin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya yang mengaitkan latihan APMM dengan peristiwa Memali. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata keputusan itu dibuat bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Share this post: