TheMalaysiaTime

Paras air empangan di Melaka menyusut

2026-03-28 - 04:20

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal monsun barat daya pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah. (Gambar Bernama) ALOR GAJAH: Paras air semasa di tiga empangan di Melaka masih berada pada tahap normal walaupun dilaporkan menyusut antara 10 hingga 30% ekoran cuaca panas yang dialami kebelakangan ini. Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Hameed Mytheen Kunju Basheer, berkata paras air di Empangan Durian Tunggal berada pada tahap kira-kira 70%, Empangan Jus (60%) dan Empangan Asahan (90%). “Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), taburan hujan yang tinggi dijangka bulan depan di pedalaman Pantai Barat meliputi kawasan tadahan air di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di sini malam tadi. Hameed berkata pelbagai inisiatif mula dilaksanakan bagi memastikan bekalan air tidak terjejas sekiranya cuaca panas berlarutan termasuk pengepaman air dari Sungai Gerisik, Johor untuk disalurkan ke loji air Merlimau. Beliau berkata beberapa kolam tadahan di negeri ini juga akan diaktifkan untuk menyalurkan air ke kawasan empangan sekiranya perlu dan setakat ini, tiada keperluan untuk memohon melaksanakan operasi pembenihan awan. MetMalaysia sebelum ini memaklumkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah. Sementara itu, Hameed berkata lebih 10,000 menghadiri Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Ayer Limau yang berlangsung bermula 5 petang hingga 12 tengah malam tadi. Katanya, antara yang turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam serta isteri Asmah Abd Rahman dan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh serta isteri Zuriyah Ab Aziz.

Share this post: