Pakar ekonomi persoal asas siasatan Trump berhubung dagangan tak adil
2026-03-17 - 23:21
Mahkamah Agung As memutuskan Donald Trump melampaui kuasa perlembagaannya dengan mengenakan tarif di bawah statut dikhaskan untuk kegunaan semasa darurat negara yang sebenar. (Gambar EPA Images) PETALING JAYA: Pakar ekonomi mempersoalkan motif siasatan Amerika Syarikat (AS) terhadap dakwaan amalan perdagangan tidak adil oleh Malaysia, atas alasan lebihan dagangan tidak semestinya menjadi asas bagi siasatan sedemikian. Pensyarah adjung Universiti Teknologi Petronas Samirul Ariff Othman dan pakar ekonomi Bait Al-Amanah TKS Yugendran berkata, defisit dagangan tidak seharusnya dianggap secara automatik sebagai ‘tidak adil’. Samirul menjelaskan, sebahagian besar eksport Malaysia ke AS terdiri daripada komponen elektrik dan elektronik (E&E), serta pempakejan dan pengujian semikonduktor — barangan perantara diterapkan dalam rantaian nilai global, yang kebanyakannya melibatkan syarikat AS. “Dalam kata lain, defisit itu sebahagiannya mencerminkan sifat pembuatan moden yang berpecah-pecah, di mana fasa pengeluaran diagihkan merentas beberapa negara,” katanya kepada FMT. Samirul Ariff Othman. Rabu lepas, Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer mengumumkan bahawa negara itu memulakan siasatan terhadap dakwaan lebihan kapasiti perindustrian di Malaysia dan 15 rakan dagangan utama yang lain, dengan hasil siasatan mungkin menjurus kepada pengenaan tarif baharu di bawah Akta Perdagangan. Greer berkata, siasatan ke atas Malaysia akan memfokuskan pada dakwaan lebihan pembuatan dalam sektor elektronik, jentera dan keluli, memetik lebihan dagangan barangan yang berterusan sebagai bukti lebihan kapasiti struktur. Perdagangan barangan antara AS dan Malaysia mencecah kira-kira USD88.5 bilion pada 2025, dengan eksport AS ke Malaysia berjumlah sekitar USD28.9 bilion dan import dari Malaysia pada paras USD59.7 bilion, lantas mengakibatkan defisit sekitar USD30.8 bilion bagi AS. Sebaliknya, Samirul menegaskan, AS mengekalkan lebihan dagangan perkhidmatan dengan Malaysia, satu faktor yang sering tidak cukup diberikan perhatian politik walaupun ia masih signifikan dari segi ekonomi. TKS Yugendran. Yugendran pula berkata, defisit dagangan USD30.8 bilion bagi AS itu sekadar mencerminkan hakikat bahawa kos pengeluaran di AS adalah tinggi, dan Malaysia mampu memenuhi permintaan tersebut, terutamanya dalam sektor E&E. Pelan B Trump? Samirul mencadangkan bahawa siasatan itu mungkin merupakan percubaan pentadbiran Donald Trump untuk membina semula kes bagi mengenakan tarif terhadap Malaysia, susulan keputusan Mahkamah Agung AS untuk membatalkan tarif menyeluruh yang dikenakan ke atas pelbagai negara bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa. Siasatan tersebut diperlukan bagi membolehkan Trump menggunakan Akta Perdagangan untuk mengenakan duti secara unilateral ke atas import dari negara-negara yang dianggap melaksanakan amalan perdagangan tidak adil. Mahkamah memutuskan Trump melampaui kuasa perlembagaannya dengan mengenakan tarif di bawah statut yang dikhaskan untuk kegunaan semasa darurat negara yang sebenar. “Dari perspektif itu, siasatan baharu ini boleh dilihat sebagai cara untuk membina semula asas perundangan untuk mengenakan tarif di bawah Akta Perdagangan,” kata Samirul. Beliau berkata, walaupun siasatan sedemikian mungkin ada merit sebagai siasatan menyeluruh terhadap kapasiti perindustrian global, namun penggunaan rangka kerja yang sama untuk semua ekonomi, termasuk hab pembuatan yang lebih kecil seperti Malaysia, mungkin tidak dapat merangkumi sepenuhnya kerumitan rantaian bekalan ini. Namun begitu, Yugendran kekal optimis perdagangan AS-Malaysia akan terus kukuh walaupun berdepan ‘gangguan jangka pendek’ akibat siasatan tersebut. “Kita dah jadi rakan dagangan yang teguh selama bertahun-tahun, dan saya tidak jangkakan perkara itu akan berubah dalam jangka panjang. “Tarif tidak mampan,” katanya.