‘Pak guard’ rogol anak dijel 21 tahun, 24 sebatan
2026-03-04 - 07:53
Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 13 tuduhan kesalahan seksual terhadap anak perempuannya yang berusia enam tahun. (Gambar fail) PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara 21 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 13 tuduhan kesalahan seksual termasuk persetubuhan luar tabii dan merogol anak perempuannya yang berusia enam tahun. Tertuduh berusia 43 tahun itu membuat pengakuan itu di dua Mahkamah Sesyen berasingan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol dan Hakim Nor Aziati Jaafar, lapor Berita Harian. Di hadapan Hakim Madihah, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta 14 sebatan, manakala di hadapan Hakim Nor Aziati, tertuduh dihukum penjara 21 tahun dan 10 sebatan. Mahkamah menetapkan hukuman penjara berjalan secara serentak dari tarikh tangkapan iaitu pada 18 Feb lalu dan turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman. Terdahulu, tertuduh didakwa empat tuduhan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. Lelaki itu juga didakwa atas empat pertuduhan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa di bawah Seksyen 15(c) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya. Dia juga didakwa dua pertuduhan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan. Tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video terhadap mangsa mengikut Seksyen 5 AKSTK 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat hingga enam kali. Satu pertuduhan merogol mangsa dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah setinggan di Kampung Kempas Baru, Johor Bahru, antara 11.35 malam, 22 Jan hingga pagi 17 Feb lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Manushri dan Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.