TheMalaysiaTime

P Pinang tetap anjur rumah terbuka Aidilfitri secara sederhana

2026-03-12 - 07:34

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan secara kecil-kecilan jadi ruang untuk rakyat berkumpul dan raikan kebersamaan. PETALING JAYA: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri secara sederhana, walaupun terdapat saranan agar agensi kerajaan tidak menganjurkan majlis sedemikian. Semalam dilaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan, agensi-agensi kerajaan tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri sebagai langkah penjimatan bagi mendepani kesan konflik di Asia Barat. Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, setakat ini kerajaan negeri belum menerima sebarang pekeliling rasmi daripada ketua setiausaha negara mengenai perkara tersebut. “Saya rasa kerana masa pun begitu dekat, majlis pun sudah diatur dan surat jemputan sudah dikeluarkan. “Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pun belum sempat bincang isu ini secara rasmi,” katanya kepada pemberita, lapor Bernama. Chow menambah, majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan oleh kerajaan negeri bersama yang dipertua negeri adalah suatu tradisi untuk menyantuni rakyat yang selama inipun dilaksanakan secara sederhana. Dalam pada itu, pada peringkat jabatan dan agensi negeri, Chow menasihatkan agar penganjuran dibuat secara dalaman atau berkonsepkan ‘potluck’ bagi menjimatkan kos. Beliau menekankan kepentingan platform seperti rumah terbuka dalam mengukuhkan perpaduan kaum, terutamanya ketika berdepan dengan cubaan pihak ekstremis yang mahu memecah-belahkan masyarakat. “Platform ini penting untuk membawa rakyat bersama-sama memupuk semangat perpaduan,” katanya. “Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, majlis kecil-kecilan ini berfungsi sebagai ruang untuk rakyat berkumpul dan meraikan kebersamaan.”

Share this post: