TheMalaysiaTime

Orang Melayu sudah bersatu, politikus yang gerak sentimen, kata pemimpin Amanah

2026-03-06 - 08:03

Zamir daripada Amanah (tengah, barisan hadapan) berkata kepelbagaian tidak semestinya bermaksud perpecahan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah percaya orang Melayu sebenarnya sudah bersatu, namun menyatakan ahli politik yang menggerakkan politik sentimen. Ahli Jawatankuasa Pusat Zamir Ghazali, menekankan orang Melayu hakikinya memang bersatu dan tidak berkabilah seperti orang Arab, selain tidak berkelahi mahupun menumpahkan darah dengan orang Melayu dari negeri berbeza. Katanya, bangsa Melayu juga secara identiti ialah Islam dengan agama itu bertindak menyatu. “Jadi, maknanya orang Melayu kita memang telah bersatu. Lalu apa sebenarnya sisi penyatuan Melayu yang ingin kita berubat? Jawabnya ialah orang politik itu mesti diubati. “Pemimpin politiklah menggerakkan politik sentimen menakut-nakutkan orang Melayu. Kita sebagai politikus yang asyik menanamkan dakyah orang Melayu tidak bersatu. Inilah tumor sebenar dalam susuk tubuh badan sosial Melayu. “Maka, ubat paling mujarab menyatukan Melayu yang tamadunnya telah pun bersatu ialah kita orang politik berhentilah berpolitik sentimen kaum dan agama. Balik kepada politik nilai,” katanya dalam catatan di Facebook. Zamir merupakan antara wakil Amanah yang hadir mesyuarat rentas parti bagi membincangkan isu melibatkan orang Melayu bersama tujuh parti politik lain, termasuk Umno, PAS, PKR, dan Parti Gagasan Rakyat Sabah. Beliau berkata, ahli politik Melayu perlu bercakap mengenai nilai baik dan idea pemajuan Melayu. Justeru, katanya bukan lantang bercakap hanya semata ingin menonjolkan diri ‘aku paling Melayu dan paling Islam’. Zamir berkata, sudah terbukti orang Melayu bersatu di luar politik merujuk kepada pelbagai institusi Melayu-Islam berbeza dalam perkara muamalat seperti Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) , Dewan Perniagaan Melayu, dan Persatuan Kontraktor Bumiputera. Katanya, ratusan koperasi Melayu juga ditubuh dan beroperasi dengan kepelbagaian berkenaan yang rencam itu tidak pernah disebut sebagai tanda Melayu berpecah. “Tak pernah pun kita lancang mulut menyeru semua orang Melayu; ‘Marilah kita semua orang melayu duduk dalam satu Dewan Himpunan Ekonomi Melayu Ulung’. Tutup semua yang lain dan duduk dalam satu institusi saja. Barulah Melayu bersatu. Tidak pernah ada, tidak pernah bincang,” katanya. “Mudahnya, kita orang politik berubahlah. Kita cari idea-idea baru dan progresif untuk majukan minda serta budaya kerja yang segar. Bukan mencari siapa lebih Islam dan siapa lebih Melayu.”

Share this post: