Operator air diarah simpan stok bahan kimia, alat ganti hingga 6 bulan
2026-03-17 - 14:11
SPAN berkata, pihaknya sedang pantau rapat impak konflik di Timur Tengah bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan air tidak terganggu. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa semua operator perkhidmatan air memastikan stok bahan kimia serta alat ganti mencukupi untuk tempoh tiga hingga enam bulan akan datang. SPAN berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kesan langsung yang akan menyulitkan industri sekiranya ketegangan di laluan perdagangan Selat Hormuz berterusan. Justeru, katanya, SPAN sedang memantau secara rapat impak konflik di Timur Tengah itu bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan air tidak terganggu. “Industri perkhidmatan air bergantung secara langsung kepada pasaran antarabangsa, khususnya melibatkan bahan api untuk rawatan dan agihan, serta peralatan alat ganti dan bahan kimia untuk kegunaan loji serta perpaipan. “SPAN tidak menolak kemungkinan kesan langsung yang bakal menyulitkan industri sekiranya konflik berterusan kerana sebarang kenaikan kos mendadak akan memberi kesan kepada pengoperasian operator,” katanya dalam kenyataan. Menurut suruhanjaya itu, setakat ini kesan ketara belum dirasai memandangkan kenaikan kos bahan api masih terkawal, selain harga alat ganti dan bahan pemprosesan belum menunjukkan peningkatan mendadak. Dalam pada itu, SPAN turut menyarankan orang ramai agar menggunakan air secara berhemat, terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri bagi memastikan bekalan mencukupi untuk semua. “Penggunaan yang sewajarnya dapat memastikan bekalan mencukupi untuk semua dan kos pengoperasian di pihak pembekal dapat dikawal daripada sebarang kesan buruk impak krisis semasa,” katanya.