TheMalaysiaTime

NGO serah memorandum gesa tindakan terhadap aktiviti berunsur hasutan

2026-03-13 - 09:14

Kira-kira 100 orang sertai himpunan aman oleh Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global di hadapan PMO di Putrajaya. PUTRAJAYA: Sebuah NGO menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap aktiviti berunsur hasutan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Memorandum itu diserahkan selepas satu himpunan aman oleh Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global di hadapan PMO, disertai kira-kira 100 peserta. Presiden Shashi Kumar berkata memorandum berkenaan mewakili suara gabungan 75 NGO yang mahu tindakan penguatkuasaan dilaksanakan tanpa pilih kasih. Beliau mendakwa beberapa individu, termasuk penceramah iaitu Zamri Vinoth, Firdaus Wong, dan Ridhuan Tee Abdullah, serta aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak secara konsisten mengeluarkan kenyataan serta menghasilkan kandungan yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama dan didakwa berunsur penghinaan terhadap agama lain. “Laporan polis bersama bukti kukuh telah dibuat terhadap perkara itu, selain satu memorandum rasmi turut diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum berkenaan. Shashi menggesa satu mesyuarat segera diadakan melibatkan wakil mereka dengan wakil Pejabat Perdana Menteri, polis, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, bagi membincangkan secara langsung isu berkenaan yang didakwa menjejaskan keharmonian antara kaum, keselamatan awam dan kestabilan negara. “Memorandum ini dikemukakan secara konstruktif namun tegas, demi memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara serta menjamin keselamatan, keadilan dan masa depan Malaysia yang inklusif,” katanya. Himpunan bermula pada 3 petang dan berakhir satu jam kemudian. Peserta yang hadir membawa beberapa sepanduk membantah kenyataan berunsur hasutan dan provokasi.

Share this post: