TheMalaysiaTime

NGO kritik polis soal siasat 14 aktivis, ahli akademik

2026-03-16 - 06:14

Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz (duduk, dua dari kanan) berkata polis kemuka 80 soalan kepada individu dipanggil untuk soal siasat, termasuk sumber maklumat, pembiayaan dan kaitan individu dengan organisasi. PETALING JAYA: Beberapa NGO berkata, soal siasat polis ke atas 14 aktivis dan ahli akademik berhubung dakwaan “aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen” berisiko menghalang kritikan terhadap kerajaan. Wakil dari Bersih, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Lawyers for Liberty (LFL) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) antara lain berkata, siasatan itu seolah-olah bertujuan menakut-nakutkan pengkritik. Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, berkata polis mengemukakan 80 soalan kepada individu dipanggil, termasuk sumber maklumat, pembiayaan dan kaitan individu dengan organisasi. Beliau berkata, pihak berkuasa dilihat cuba mengaitkan mereka dengan dakwaan usaha menggulingkan kerajaan, walaupun kritikan disuarakan bagi memperkukuh institusi demokrasi dan mencegah rasuah. “Ia jelas cubaan serius untuk mendiamkan individu yang mengkritik kerajaan,” katanya dalam sidang media di pejabat Pusat Komas di sini. Kenyataan bersama mereka disokong 49 NGO dan 30 individu, termasuk ahli akademik, peguam, aktivis serta tokoh politik. Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, sebagai berkata kenyataan telah diambil daripada 14 saksi untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen itu, aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun. Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu, berkata penggunaan seksyen itu menandakan “peningkatan membimbangkan” berbanding amalan sebelum ini, di mana polis lebih banyak bergantung kepada undang-undang seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk penggunaan kemudahan rangkaian tidak wajar serta Akta Hasutan. Pengarah Eksekutif C4, Pushpan Murugiah, yang turut dipanggil berkata, soal siasat itu menimbulkan ketakutan dalam kalangan aktivis dan ahli akademik. “Jika C4 sedang mengkaji isu antirasuah dan tadbir urus, bagaimana usaha menuntut akauntabiliti lebih baik boleh dilihat sebagai memudaratkan demokrasi?” Mereka turut meminta penjelasan polis berhubung skop siasatan.

Share this post: