NGO gesa AGC dedah status kes pegawai kanan JAS
2026-03-24 - 06:00
Dua pegawai kanan JAS antara beberapa individu yang ditahan SPRM dalam siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan pengurusan sisa elektronik. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Dua badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendedahkan status terkini siasatan terhadap pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kes sisa elektronik (e-waste). Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) serta Sahabat Alam Malaysia berkata, setakat ini, tiada maklumat lanjut didedahkan kepada umum mengenai perkembangan kes itu, termasuk sama ada pegawai terbabit akan didakwa mahupun digantung tugas sementara menunggu sebarang tindakan undang-undang diambil. “Tindakan membenarkan mereka terus memegang jawatan menimbulkan persoalan serius kerana ia boleh membawa kepada penjejasan bahan bukti, sekali gus menjejaskan usaha pendakwaan. “SPRM dan peguam negara perlu mendedahkan status semasa kes berkenaan, termasuk bila pegawai terlibat akan didakwa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif C4 Pushpan Murugiah dan Presiden SAM Meenakshi Raman dalam kenyataan bersama. Pada 11 Feb lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memaklumkan, agensi itu akan mencadangkan pendakwaan terhadap ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah JAS atas tuduhan rasuah. Kataya, kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak pendakwa raya dan keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat. Dua pegawai kanan jabatan itu merupakan antara beberapa individu yang ditahan SPRM dalam siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan pengurusan sisa elektronik (e-waste). Turut ditahan enam pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan sisa elektronik sejak lima tahun lalu. Dalam pada itu, kedua-dua NGO itu turut menggesa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjelaskan langkah pentadbiran yang diambil bagi mengelakkan konflik kepentingan atau penyalahgunaan kuasa ketika siasatan masih berjalan. Mereka berkata, kemas kini berkala perlu diberikan kepada orang ramai bagi memastikan ketelusan serta memperkukuh keyakinan terhadap institusi pencegahan rasuah dan perlindungan alam sekitar negara.