NGO batal himpunan bantah kuil di Hospital Bukit Mertajam
2026-03-06 - 09:24
Sophian Zain berkata perhimpunan di hadapan kuil itu dibatalkan selepas pertemuaan dengan jawatankuasa pengurusan kuil berkenaan IPD Bukit Mertajam. GEORGE TOWN: Sebuah NGO yang dilaporkan merancang untuk mengadakan satu perhimpunan membantah sebuah kuil Hindu berhampiran pintu masuk Hospital Bukit Mertajam esok telah membatalkan rancangan tersebut selepas bertemu pihak polis. Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus) membuat keputusan itu selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa pengurusan kuil berkenaan dan Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, di IPD Bukit Mertajam. “Saya nak jelaskan bahawa kita tidak akan turun ke hospital Bukit Mertajam. “Tetapi mungkin ada di pihak lain yang juga nak datang. Kita juga tak boleh halang”, kata Pengerusi Surplus, Sophian Zain, dalam satu sidang media bersama jawatankuasa kuil di luar IPD Bukit Mertajam. Sophian menafikan dakwaan bahawa NGO tersebut mahu merobohkan kuil itu, sebaliknya menyatakan mereka hanya mahu melawat lokasi berkenaan selepas menerima aduan dan tularnya video berkait kuil tersebut di media sosial. “NGO seperti kami tidak mempunyai kuasa untuk membuat perobohan,” katanya. Sophian juga berkata Surplus bukan dalang di sebalik poster protes yang tular secara meluas, sambil menambah bahawa poster tersebut dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI). Beliau menegaskan kumpulannya hanya mahu ‘mencari titik persamaan’ mengenai isu tersebut dan tidak pernah berniat untuk mengganggu ketenteraman. Sebelum ini, beberapa ahli politik, termasuk Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, membuat laporan polis selepas penceramah kontroversi, Zamri Vinoth, menggesa agar kuil itu dirobohkan dalam satu hantaran di Facebook. Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata pada Rabu bahawa pihak polis sedang menyiasat hantaran tersebut di bawah Kanun Keseksan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.