Negara perlu kaji semula penempatan pangkalan tentera asing, kata pakar AS
2026-03-16 - 10:43
Jeffrey Sachs berkata, pangkalan tentera di luar negara, terutamanya milik AS, tak tawar jaminan keselamatan sebenar kepada negara tuan rumah. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Negara-negara perlu mempertimbangkan semula langkah menempatkan pangkalan tentera asing, terutamanya milik Amerika Syarikat (AS), kata pakar ekonomi AS, Jeffrey Sachs. Berucap ketika perbincangan panel di Sunway University hari ini, Sachs menyifatkan konsep pangkalan luar negara secara prinsip umumnya sebagai ‘amat buruk bagi dunia’. “Saya syorkan setiap negara yang menempatkan tentera negara lain agar minta mereka pulang, kerana tiada jaminan keselamatan yang diperoleh dengan menempatkan pangkalan tentera AS. “Saya rasa ini sesuatu yang telah dipelajari oleh Bahrain, UAE dan Arab Saudi sejak beberapa minggu lepas,” katanya, merujuk insiden fasiliti tentera di negara-negara tersebut diserang oleh Iran. Menurut Sachs, Britain, Perancis, Rusia dan China masih mengekalkan pangkalan luar negara, namun jumlahnya jauh lebih kecil. “Jika anda ada (angkatan) tentera laut dan ia perlu diservis, kerja-kerja servis boleh dilakukan di limbungan pembaikan pihak lain, tidak perlu pangkalan luar negara untuk tujuan itu,” kata bekas penasihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut. Menurut Biro Keamanan Antarabangsa, dianggarkan terdapat 1,247 pangkalan tentera asing di seluruh dunia setakat 2025, dengan 877 daripadanya, atau kira-kira 70%, pangkalan AS. Baki 370 pangkalan, di lebih 100 negara dan wilayah, dikendalikan oleh 18 negara lain, termasuk United Kingdom, Perancis, Rusia dan China. Terdahulu, dalam ceramahnya, Sachs berkata, ketegangan geopolitik semasa mencerminkan peralihan yang lebih meluas dalam tatanan antarabangsa, dengan kuasa beralih daripada penguasaan Barat ke arah sistem berbilang kutub yang dipacu oleh kebangkitan Asia. “Kita sedang didorong oleh AS yang sangat mudah melenting dan tidak stabil dalam krisis, dan ia sebahagian besarnya berpunca daripada AS,” katanya sambil menegaskan, ketegangan itu bermula daripada ‘sikap perengus’ Washington dan pembuatan keputusan strategik yang lemah. “Saya pernah nyatakan, antara 1995 dan 2025, sumbangan Asia dalam keluaran dunia akan meningkat 20%, di mana bahagian Asia akan meningkat daripada 30% kepada 50% daripada keluaran dunia. Inilah sebenarnya yang telah berlaku,” katanya. Sachs turut membangkitkan peningkatan pengaruh ekonomi pesat membangun, dengan blok BRICS kini mengatasi G7 dari segi keluaran global. BRICS terdiri daripada 11 negara, iaitu Brazil; Rusia; India; China; Afrika Selatan; Arab Saudi; Mesir; Emiriah Arab Bersatu (UAE); Ethiopia; Indonesia; dan Iran. Malaysia menjadi negara rakan kongsi BRICS sejak 1 Jan lepas. Walaupun ketegangan semakin meningkat dalam kalangan kuasa besar, Sachs kekal optimis, menyifatkan tempoh ini sebagai ‘peralihan yang sukar’ berbanding keadaan ketidakstabilan yang kekal. “Saya tidak lihat perkara ini sebagai pemecahan dunia secara umum, (sebaliknya) sebagai keperitan sesebuah peralihan dan anjakan mentaliti yang diperlukan tetapi belum berlaku,” katanya.