Nak bubar serentak DUN kena hormat autonomi negeri, kata Bersih
2026-03-12 - 00:44
PRU15 pada 2020 telan kos RM725 juta, manakala enam PRN berikutnya tambah perbelanjaan sebanyak RM420 juta, menurut SPR. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Cadangan dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) supaya semua PRN diadakan serentak dengan PRU perlu dibincangkan secara teliti, tanpa campur tangan kuasa persekutuan terhadap negeri, kata Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz. Faisal berkata, sebarang usaha ke arah pembubaran serentak DUN perlu menghormati autonomi negeri kerana pada masa ini, kuasa membubarkan DUN terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. “Perlu diingatkan bahawa kuasa membubarkan DUN ialah hak mutlak negeri, berdasarkan struktur dan proses sedia ada, melibatkan menteri besar, speaker, Adun dan Sultan,” katanya kepada FMT. “Maka, jika ingin pembubaran serentak, ia harus dibincangkan tanpa wujud campur tangan kuasa persekutuan di negeri, sebaliknya perlu untuk menghormati autonomi DUN itu sendiri. Faisal bagaimanapun mengakui kelebihan pilihan raya serentak, termasuk berpotensi meningkatkan peratusan keluar mengundi dan menjimatkan kos. Beliau berkata demikian mengulas cadangan dua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang menggesa supaya semua PRN diadakan serentak dengan PRU kerana ia mampu mengurangkan perbelanjaan kerajaan, menyelaraskan kitaran pilihan raya persekutuan dan negeri, serta meningkatkan peratusan keluar mengundi. Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof berkata, peratusan keluar mengundi pada PRN cenderung menjadi lebih rendah apabila diadakan berasingan daripada PRU, yang menyebabkan kerajaan negeri yang dipilih mempunyai mandat lebih kecil. Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah menegaskan, pilihan raya yang berasingan menyebabkan pengundi penat, mendorong mereka kurang keluar mengundi, seperti yang dilihat pada PRN Melaka, Sarawak dan Johor yang diadakan antara 2021 dan 2022. Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah Syahruddin Awang Ahmad berpandangan, cadangan tersebut berpotensi menggalakkan pengundi memilih parti yang sama bagi kerusi Parlimen dan negeri menerusi fenomena ‘straight-ticket voting’. Beliau menjelaskan, keadaan itu berlaku kerana kempen yang didominasi isu nasional sering menenggelamkan isu tempatan, sekali gus mempengaruhi kecenderungan pengundi pada peringkat negeri. “Pengundi sering melihat kestabilan antara kerajaan persekutuan dan negeri sebagai faktor utama dalam pembangunan,” katanya. “Walaupun terdapat segelintir pengundi yang memecah undi, majoriti lebih selesa menyelaraskan sokongan politik mereka demi memudahkan penyelarasan pentadbiran kerajaan.” Beliau menjangkakan pengundi muda dan di bandar antara kelompok yang paling mendapat manfaat daripada penyelarasan pilihan raya kerana mereka mempunyai mobiliti tinggi dan kekangan masa. Menurutnya, parti nasional turut akan memperoleh kelebihan dalam pilihan raya serentak kerana memiliki keupayaan kewangan, jentera lebih meluas serta akses media lebih dominan untuk melaksanakan kempen bersepadu di seluruh negara. PRN Sarawak terakhir diadakan pada Disember 2021, manakala Sabah dan Melaka mengadakan pilihan raya mengejut masing-masing pada 2020 dan 2021 susulan krisis politik negeri. Johor pula mengadakan PRN pada 2022 apabila menteri besar ketika itu, Hasni Mohamad, mahu mendapatkan mandat baharu susulan majoriti tipis di DUN. Perlis, Perak dan Pahang mengadakan PRN serentak dengan PRU15 pada 2022, manakala Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu menangguhkan PRN atas kebimbangan banjir monsun. Keenam-enam negeri itu mengadakan PRN pada Ogos 2023. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini melaporkan PRU15 menelan kos RM725 juta, manakala enam PRN berikutnya menambah perbelanjaan sebanyak RM420 juta.