Najib mohon hidupkan semula saman RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas
2026-03-18 - 03:50
Saman Najib Razak terhadap Tommy Thomas itu berkait dakwaan penyalahgunaan budi bicara pendakwaan berkaitan pertuduhan 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC). PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak membuat langkah terakhir dengan memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk menghidupkan semula saman beliau berjumlah RM1.9 juta terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas. Najib memfailkan permohonan itu bulan lalu untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak saman itu. Peguam Yudistra Darma Dorai, anggota pasukan guaman Najib, berkata tiga soalan undang-undang telah dirangka untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan. Beliau menegaskan tindakan sivil itu bukanlah serangan terhadap prosiding jenayah yang difailkan terhadap Najib. “Ini berkaitan dengan dakwaan anak guam saya terhadap tindakan, kelakuan dan kecuaian bekas Peguam Negara berhubung Najib Razak, sebelum semasa dan selepas Thomas menjadi peguam negara,” katanya kepada FMT. Yudistra menambah permohonan kebenaran merayu ini akan didengar pada 30 Julai. Pada 13 Jan, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim P Ravinthran, Wong Kian Kheong dan Nadzarin Wok Nordin menolak rayuan awal Najib dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 November 2022 yang menolak saman itu. Najib memfailkan saman terhadap Thomas pada 2020, mendakwa penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam, pendakwaan berniat jahat, dan kecuaian dalam melaksanakan budi bicara pendakwaan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, berhubung pertuduhan terhadapnya berkaitan 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC). Dalam saman itu, bekas perdana menteri menuntut RM1.9 juta sebagai ganti rugi khas, yang kononnya menampung kos melantik pasukan audit untuk menyemak dokumen dan menyediakan pembelaannya dalam prosiding jenayah. Dalam keputusan Mahkamah Rayuan, Ravinthran menyatakan bahawa panel bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa kerana kes jenayah belum bermula ketika saman sivil difailkan, tindakan terhadap penyalahgunaan kuasa, proses berniat jahat, dan kecuaian adalah terlalu awal. Beliau juga berkata, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa tort “malicious process” (proses berniat jahat) tidak wujud dalam undang-undang Malaysia. Bagaimanapun, mahkamah menolak keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Thomas mempunyai imuniti dan tindakannya tidak boleh dipertikaikan. “Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan imuniti kepada Peguam Negara untuk tindakan sivil yang difailkan terhadapnya secara peribadi. “Kes-kes yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi tidak boleh digunakan kerana terdapat kes jenayah di mana budi bicara Peguam Negara telah dipertikaikan,” katanya.