TheMalaysiaTime

Najib kemuka permohonan pengampunan baharu, kata sumber

2026-03-26 - 05:51

Najib Razak kini menjalani hukuman penjara kes SRC International yang dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028, sebelum hukuman kedua selama 15 tahun bagi kes 1MDB bermula. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Bekas perdana menteri yang dipenjarakan Najib Razak difahamkan telah mengemukakan permohonan pengampunan baharu kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB), menurut sumber. Sumber itu berkata permohonan berkenaan dibuat Ramadan lalu, dengan salinannya turut dihantar ke Istana Negara. Menurutnya, tidak jelas sama ada permohonan itu hanya melibatkan kes SRC International Sdn Bhd, kes 1MDB, atau kedua-duanya sekali, namun ia memohon supaya Najib dibebaskan daripada semua kesalahan jenayah. Ketika diminta mengesahkan perkara itu, peguam Farhan Shafee yang menjadi sebahagian daripada pasukan pembelaan sivil dan jenayah Najib berkata beliau tidak mengetahui mengenai sebarang permohonan sedemikian. FMT turut menghubungi Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk mendapatkan maklum balas. Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, penangguhan atau pengurangan hukuman, serta mempengerusikan mesyuarat FTPB. Lembaga FTPB dianggotai oleh peguam negara, menteri wilayah persekutuan dan sehingga tiga lagi ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Pada 22 Dis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah, seperti yang didakwanya selaras dengan titah adendum dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu. Najib, yang berhujah kerajaan wajib melaksanakan perintah berkenaan, kini sedang membuat rayuan terhadap keputusan terbabit. Najib, 72, disabitkan kesalahan enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, yang mula dijalani di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022. Bagaimanapun, FTPB kemudiannya mengurangkan tempoh penjara kepada enam tahun dan menurunkan denda kepada RM50 juta. Pada 24 Dis lalu, sebuah lagi Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014. Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun yang akan bermula pada 23 Ogos 2028, sejurus selepas hukuman kes SRC International tamat. Beliau turut dikenakan denda kira-kira RM11.4 bilion. Najib kini merayu keputusan terbabit. Sementara itu, peguam Abdul Rashid Ismail berkata Akta Penjara dan peraturannya tidak menetapkan had masa untuk seseorang memohon pengampunan diraja. “Undang-undang hanya menyatakan permohonan boleh dibuat ‘secepat yang munasabah’,” katanya.

Share this post: