TheMalaysiaTime

MyCC siasat 87 syarikat disyaki terbabit kartel umrah

2026-03-17 - 06:23

Timbalan menteri Fuziah Salleh berkata terdapat beberapa syarikat membuat perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia. (Gambar Bernama) KUANTAN: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata 87 syarikat pengendali umrah sedang disiasat berhubung dakwaan wujudnya kartel umrah. Menurutnya, siasatan itu dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana terdapat beberapa syarikat membuat perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia. “Apabila mereka menetapkan harga, pengguna tidak dapat tawaran terbaik. Sebab itu MyCC berperanan membanteras aktiviti kartel ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Program Jualan Rahmah Madani Mega Aidilfitri 2026 dan Agihan Zakat Wakalah Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia di Perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap Perdana di sini. Beliau menasihatkan orang ramai yang merancang menunaikan umrah supaya mempertimbangkan aspek keselamatan semasa susulan konflik geopolitik. “Dalam Islam, konsep isti ta’ah atau kemampuan perlu diambil kira. Jika keadaan tidak selamat, maka tidak menjadi kewajipan untuk menunaikan umrah. Keselamatan diri dan keluarga perlu diutamakan.” Sementara itu, Fuziah berkata, kerajaan sedang meneliti langkah merapatkan jurang ketirisan bahan api bersubsidi dan komersial. Jelasnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas dipengerusikan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, semalam. “Kita mengakui terdapat jurang ketara antara harga RON95 dan RON97. Perbezaan ini membuka ruang kepada ketirisan apabila pihak sepatutnya membeli pada harga komersial turut mendapatkan bekalan bersubsidi,” katanya sambil menambah kerajaan akan terus mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter demi kesejahteraan rakyat. Mengenai program hari ini, katanya, 133 Program Jualan Rahmah Madani Mega Aidilfitri dilaksanakan di seluruh Pahang sepanjang Ramadan ini. Menurutnya, 45 lagi program itu dijadualkan berlangsung hingga 30 Mac ini untuk memastikan lebih ramai rakyat berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang sambutan Aidilfitri.

Share this post: