Mustahil Zuraidi jadi calon MB, kata pemimpin PKR Kedah
2026-03-16 - 14:45
Nor Azrina Surip mengingatkan mana-mana ahli PKR tidak boleh mendahului parti dalam membuat keputusan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: PKR Kedah tidak pernah membincangkan calon menteri besar termasuk mengangkat pengerusi sebuah NGO, Zuraidi Rahim sebagai ‘poster boy’ parti itu pada PRN akan datang. Ahli Majlis Pimpinan PKR Kedah, Nor Azrina Surip turut berkata agak mustahil menamakan pengerusi Persatuan Anak Muda Madani Kedah itu memandangkan beliau baharu diterima semula keanggotaannya, Ogos tahun lalu. “Beliau diterima semula dengan bersyarat dan tidak tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam parti selama tiga tahun. “Dengan penerimaan bersyarat itu, janggal untuk beliau dipilih menjadi calon (pilihan raya) dan mustahil menjadi calon menteri besar,” katanya kepada FMT. Nor Azrina turut menekankan fokus PKR Kedah kini untuk menjalankan sedaya upaya politik khidmat kepada rakyat. “Calon MB adalah keputusan parti. “Dalam prinsip dan adab berorganisasi, individu tidak boleh mendahului parti,” katanya. Terdahulu, tular video memetik Zuraidi menjawab persoalan berhubung calon menteri besar dari PKR yang dikait dengannya. Dalam video itu, beliau menyatakan kesediaan sebagai calon menteri besar Kedah sekali gus bersaing dengan Sanusi Nor dari PAS.