TheMalaysiaTime

Munasabah DAP tuntut Anwar jelaskan pakatan pilihan raya kerajaan perpaduan

2026-03-02 - 00:23

BN dan PH yang bersaing pada PRU15 bekerjasama pada PRN enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. PETALING JAYA: Gesaan DAP supaya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menjelaskan segera pendekatan kerjasama kerajaan perpaduan menjelang pilihan raya akan datang disifatkan munasabah didorong jangkaan PRN Melaka yang semakin dekat, kata penganalisis. Wong Chin Huat. Saintis politik Wong Chin Huat berkata tuntutan disuarakan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook itu adil untuk parti yang bekerjasama bagi membuat perancangan awal. Menurut penganalisis dari Universiti Sunway itu, ketika ini belum dapat dilihat sepenuhnya pendirian kerjasama membabitkan parti di bawah kerajaan Madani yang berbeza pada PRN Sabah tahun lalu. “Ini tidak berlaku dalam kes Johor dan Melaka selain lima negeri lain campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang. “Jadi bagi saya perlu untuk dijelaskan lebih awal hubungan pada pilihan akan datang, ini adil untuk parti yang bekerjasama supaya boleh buat perancangan awal,” katanya kepada FMT. Minggu lalu, Loke meminta Anwar menjelaskan segera pendekatan kerajaan perpaduan menjelang pilihan raya akan datang sambil menyifatkan tidak logik mereka bekerjasama di Parlimen tetapi bersaing di peringkat negeri. Selepas Sabah, pilihan raya terdekat membabitkan PRN Melaka susulan penggal pentadbiranya dijangka terbubar pada Disember ini sekali gus memberi laluan kepada proses demokrasi terbabit. BN dan PH yang bersaing pada PRU15 bekerjasama pada PRN enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Mengulas lanjut, Wong berkata semua parti perlu menerima realiti politik baharu semakin fleksibel dan cair yang mana kerjasama selepas pilihan raya adalah perkara biasa. “Dalam pertandingan sudah tentu parti berkuasa perlu menonjolkan kelebihan sendiri berbanding parti lawan, namun ini tidak bermakna mereka perlu menyerang secara negatif seperti fitnah dan politik kaum. “Malah, pengundi medan tengah (tidak fanatik parti dan pragmatik) akan menghukum parti yang berbuat begitu,” katanya. Lau Zhe Wei. Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata persoalan dibangkitkan Loke itu mungkin berkait dengan agihan kerusi jika kerjasama antara parti dalam kerajaan perpaduan diteruskan. Menurutnya, pada PRN 2023 dan PRK selepas PRU15, penentuan calon bertanding dibuat berdasarkan penyandang kerusi yang jika digunakan akan menyebabkan parti tiada kerusi bertanding seperti di Melaka serta Johor. Dua negeri itu dikuasai BN dan Umno. “Sebab itu Loke mahu jawapan jelas sama ada mahu lawan atau kerjasama untuk mengatur strategi,” katanya.

Share this post: