Muktamad persempadanan 17 DUN baharu Sarawak selewat Julai 2027, SPR diberitahu
2026-03-27 - 03:40
Julai tahun lalu DUN Sarawak meluluskan RUU bagi menambah jumlah kerusi negeri daripada 82 kepada 99 sebagai sebahagian langkah memperluas perwakilan politik di negeri itu. PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memuktamadkan proses persempadanan semula bagi 17 kerusi baharu DUN Sarawak selewat-lewatnya Julai 2027 bagi memastikan integriti sistem pilihan raya terus terpelihara. Adun Mengkibol, Chew Chong Sin, berkata langkah itu penting bagi memastikan proses persempadanan dilakukan secara telus serta mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata, Jadual Ke-13 Perlembagaan memperuntukkan bilangan pengundi bagi setiap kawasan pilihan raya hendaklah ‘lebih kurang sama’. Katanya, cadangan pembahagian kerusi bandar dan luar bandar yang dilaporkan mempunyai nisbah pengundi setinggi hampir 1:7 tidak boleh diterima kerana bercanggah prinsip kesaksamaan undi. Chew Chong Sin. “SPR mesti mempertahankan kredibiliti sistem pilihan raya dan memastikan setiap undi mempunyai nilai yang sama,” katanya dalam kenyataan. Chew turut menyokong tuntutan reformasi pilihan raya yang dibangkitkan oleh pertubuhan masyarakat sivil di Sarawak, termasuk pembaharuan sistem pengundian pos. Katanya, pelaksanaan pengundian pos lebih meluas dapat membantu rakyat Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung menunaikan hak mengundi tanpa dibebani kos perjalanan tinggi. Menurutnya, perkara itu juga melibatkan ramai rakyat Sarawak yang menetap di Johor selain ratusan ribu rakyat Malaysia di luar negara yang menghadapi cabaran sama ketika pilihan raya. Chew turut mencadangkan SPR mempertimbangkan penggunaan sistem pengundian elektronik bagi meningkatkan kecekapan serta akses pengundi dalam era teknologi digital. Bulan lalu, beberapa kumpulan masyarakat sivil menggesa Pengerusi SPR, Ramlan Harun, memastikan integriti dalam persempadanan semula Sarawak susulan penularan slaid pembentangan didakwa memperincikan 17 kawasan DUN baharu yang dilihat menguntungkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Pada Julai tahun lalu, DUN Sarawak meluluskan rang undang-undang bagi menambah jumlah kerusi negeri daripada 82 kepada 99 sebagai sebahagian daripada langkah memperluas perwakilan politik di negeri itu.