Mukhriz tolak sertai semula Umno
2026-03-09 - 10:04
Mukhriz Mahathir dakwa perjungan Umno kini tidak seperti dahulu. PETALING JAYA: Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menegaskan beliau tidak akan kembali ke Umno kerana perjuangan parti itu kini telah berbeza. “Sama sekali tidak. Saya rasa Umno sudah jauh berubah. Ia bukan lagi Umno yang kita kenal,” katanya pada sidang media bersama Presiden sementara Muda, Amira Aisya Abdul Aziz. Mukhriz turut menjelaskan bahawa ramai ahli Pejuang sebelum ini pernah menjadi ahli Umno, dan kini mereka memperjuangkan agenda yang sama seperti yang pernah diperjuangkan oleh Umno. “Ahli-ahli Pejuang adalah pejuang tegar,” katanya. Jumaat lalu, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata pintu ‘Rumah Bangsa’ Umno dibuka seluas-luasnya kepada bekas pemimpin dan ahli parti itu termasuk yang dipecat atau digantung, Mukhriz, bekas menteri besar Kedah dipecat daripada Umno pada Jun 2016 bersama Muhyiddin Yassin kerana berkempen bersama lawan. Muhyiddin menjadi timbalan presiden Umno kedua yang dipecat selepas Anwar Ibrahim pada 1998. Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, baru-baru ini menyatakan minat untuk kembali ke parti itu, susulan pengumuman Zahid yang disifatkan ‘perkembangan positif’.