Mujahid kecam sindiran Hadi terhadap dialog parti Melayu-Islam
2026-03-13 - 03:23
Mujahid Yusof Rawa bidas Hadi Awang yang menggunakan metafora ‘bisikan syaitan’ dan ‘hantu raya’ dalam kritikan terhadap dialog parti Melayu-Islam. PETALING JAYA: Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa mendakwa PAS lebih mementingkan kepentingan politik sendiri apabila Presidennya Hadi Awang menyindir usaha dialog antara parti politik Melayu-Islam yang diusahakan Umno. Mujahid berkata sindiran Hadi terhadap usaha dialog itu juga mencerminkan pendekatan yang gemar melabel, menghina dan meragui keikhlasan pihak lain hanya kerana berbeza pandangan politik. Menurutnya, kenyataan dalam ‘Minda Presiden PAS’ itu turut menggunakan pelbagai metafora seperti ‘bisikan syaitan’ dan ‘hantu raya’, selain mempertikaikan amalan pihak lain seolah-olah hanya PAS membawa Islam manakala pihak lain dianggap tersasar. “Pendekatan seperti ini bukan sahaja tidak matang, malah sangat berbahaya kerana menjadikan agama sebagai alat untuk menghukum dan merendahkan pihak lain. “Islam tidak pernah mengajar umatnya meragui iman orang lain semata-mata kerana perbezaan politik,” katanya dalam kenyataan. Mujahid turut menegaskan pendekatan menghina serta menolak usaha membuka ruang dialog dan mencari titik pertemuan demi kepentingan umat dan negara hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. “Ia akan menajamkan lagi perpecahan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia,” katanya. Semalam, Hadi berkata PAS tidak bersedia menyokong agenda ‘Rumah Bangsa’ anjuran Umno kerana menyifatkan platform tersebut tidak berteraskan Islam. Menurutnya, kesimpulan sedemikian dibuat susulan pemerhatian wakil yang dihantar pihaknya ke pertemuan parti-parti politik terlibat minggu lepas. Beliau turut mendakwa penyakit was-was daripada bisikan syaitan turut mengganggu ahli Umno sendiri kerana berlawanan dengan perjuangan asal parti itu yang meletakkan agama sebahagian daripada dasarnya. Pada 5 Mac lepas, lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera pertama kali duduk semeja untuk mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum menerusi pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Dalam pertemuan itu, PAS diwakili Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.