TheMalaysiaTime

Motosikal terbabas, 3 beranak maut ketika bercuti di Tioman

2026-03-20 - 16:10

Menurut polis, motosikal dinaiki tiga beranak itu dipercayai hilang kawalan di kawasan jalan curam berbukit dan tidak rata, lalu terbabas ke bahu jalan. PETALING JAYA: Sepasang suami isteri bersama anak berusia 5 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Pulau Tioman petang tadi. Ketua Polis Rompin Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Sabri Ja’afar, 42, yang bertugas di Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia, isterinya Siti Aisyah Suhaime, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Yusuf Abdurrahman Mohd Sabri. Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan dari arah air terjun Kampung Juara menghala ke sebuah resort penginapan. “Apabila sampai di tempat kejadian, yang merupakan kawasan jalan curam berbukit dan tidak rata, motosikal dinaiki tiga beranak itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama. Akibat impak kemalangan itu, Mohd Sabri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Sementara itu, isteri dan anaknya pula disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Tekek dengan kecederaan sama. Sharif Shai berkata, hasil siasatan juga mendapati kesemua mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian, selain cukai jalan motosikal milik resort itu telah tamat tempoh sejak Julai 2019. Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Rompin malam ini menggunakan bot Pasukan Polis Marin, untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada 10 pagi esok. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Share this post: