MOT keluar garis panduan kenderaan de-controlled, pikap barangan
2026-03-16 - 06:34
Loke Siew Fook pada sidang media mengumumkan garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap membawa barangan. PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Malaysia mengeluarkan garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap membawa barangan bagi memastikan kegunaan secara sah dan selamat. Menterinya Loke Siew Fook berkata garis panduan berkuat kuasa 1 Apr depan bertujuan mengelakkan kekeliruan di kalangan pengguna jalan raya berkaitan penggunaan kenderaan membawa barangan. Jelasnya, langkah itu juga bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan secara lebih konsisten. Menurutnya, melalui garis panduan itu kenderaan barangan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) tidak melebihi 7,500 kilogram dikategorikan sebagai kenderaan de-controlled. “Kenderaan itu boleh digunakan oleh pemilik atau syarikat bagi membawa barangan milik sendiri yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan mereka tanpa memerlukan permit pengendali daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya pada sidang media. Bagaimanapun Loke berkata sekiranya kenderaan tersebut digunakan untuk membawa barangan milik pihak ketiga bagi tujuan sewa atau upah, aktiviti itu dianggap sebagai perkhidmatan pengangkutan barangan komersial dan pengendali perlu mendapatkan Permit Pembawa A daripada APAD selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Bagi kenderaan pikap persendirian, pemilik dibenarkan membawa barangan milik sendiri selagi barangan diangkut secara selamat, tidak melebihi had muatan kenderaan dan tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain. “Kerajaan turut mengekalkan kelonggaran pentadbiran kepada pemegang Lesen Memandu Kelas D untuk memandu kenderaan de-controlled dengan Berat Tanpa Muatan (BTM) sehingga 4,000 kilogram, walaupun had asal bagi lesen tersebut ialah 3,500 kilogram,” katanya. Tambahnya lagi, kelonggaran itu mengambil kira pertambahan berat akibat pemasangan badan kargo atau struktur tambahan pada kenderaan. “MOT berharap garis panduan ini dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada orang ramai mengenai penggunaan kenderaan de-controlled dan kenderaan pick-up. “Seterusnya memastikan aktiviti pengangkutan barangan dilaksanakan secara teratur serta mematuhi undang-undang demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.