TheMalaysiaTime

Misi PAS menang kerusi sulung di Sarawak samar, kata penganalisis

2026-03-08 - 02:13

Lee Kuok Tiung berkata hasrat PAS tanding di Sarawak langkah berani namun dijangka penuh dengan ranjau. (Bernama pic) PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan hasrat PAS menang kerusi sulung di Sarawak pada PRN akan datang masih samar, termasuk di Beting Maro yang pernah diberi saingan oleh parti itu. Felo Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata cita-cita itu dilihat sukar dicapai memandangkan PAS tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat berbanding parti tempatan lain. Menurutnya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih dilihat sukar ditandingi. “Walaupun di Beting Maro mereka pernah beri saingan sengi tetapi itu bukan sebab kekuatan PAS tetapi tetapi kelemahan atau sabotaj dalam PBB waktu itu,” katanya kepada FMT merujuk kejayaan PAS mengecilkan majoriti dengan majoriti 1,711 undi pada PRN 2021. PAS diwakili Pesuruhjaya negeri, Arifiriazul Paijo yang tewas kepada Razaili Gapor dari GPS. “Faktor lain seperti kekuatan masih minima, perjuangannya tidak serasi dengan nilai serta pendirian masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu di Sarawak,” kata Amir mengulas hasrat PAS bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi. Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah turut senada sambil menegaskan prestasi cemerlang GPS pimpinan Abang Johari Openg menyukarkan PAS melebarkan sayap ke negeri itu. Katanya, PAS juga tidak mempunyai pemimpin yang mempunyai tarikan seperti Adun Karambunai Aliakbar Gulasan di Sabah. “Di Sarawak ketika ini orang cenderung parti tempatan, malah Pakatan Harapan (PH) pun bakal melalui jalan sukar...tidak mustahil apa berlaku di Sabah (PH hanya menang satu kerusi) menular. “Hasrat PAS tanding di Sarawak langkah berani namun akan penuh dengan ranjau,” katanya.

Share this post: