TheMalaysiaTime

MIC paut harapan pada sasaran 115 kerusi

2026-03-17 - 09:14

Penganalisis percaya MIC masih meragui Perikatan Nasional yang berusaha untuk menampilkan imej majmuk. PETALING JAYA: MIC memautkan harapan pada sasaran 115 kerusi Parlimen yang diumumkan Barisan Nasional bagi PRU16 dipercayai antara sebab parti itu belum mahu meninggalkan gabungan itu. Penganalisis berkata sasaran memperlihatkan momentum baharu dalam BN, yang sebelum ini dibayangi spekulasi perpecahan lantaran ketidakpuasan hati MIC, antaraya kerana ‘kekangan’ daripada gabungan itu. “BN akan bertanding 115 kerusi Parlimen memberi gambaran BN sudah mempunyai keyakinan dan sudah pulih dari situasi sebelumnya. Mungkin MIC tertarik dengan wajah BN yang baru,” kata Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia. Dalam pada itu, penganalisis percaya MIC masih meragui Perikatan Nasional yang berusaha untuk menampilkan imej majmuk. Mazlan Ali. “PN masih dilihat sebagai gabungan berteraskan Melayu dan sukar untuk menjadi benar-benar berbilang kaum tanpa menjejaskan sokongan pengundi Melayu,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden M Saravanan menolak dakwaan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan bahawa parti itu secara rasmi menyertai gabungan berkenaan. Beliau menerangkan MIC sekadar membuat pertanyaan apabila ia ditawarkan untuk sertai PN oleh bekas pengerusi PN, Muhyiddin Yassin. “Kenyataan Saravanan menunjukkan MIC ragu-ragu. Saya jangka jika PN membuat undangan kepada MIC, saya yakin MIC tidak akan berbuat demikian,” kata Mazlan. Syaza menambah kemasukan ke dalam PN berpotensi menimbulkan isu pengagihan kerusi, khususnya dengan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang juga menyasarkan segmen pengundi bukan Melayu. Katanya lagi, pengundi bukan Melayu masih meragui retorik PN. “Pengundi bukan Melayu pula kini lebih kritikal. Mereka tidak hanya melihat kepada komposisi parti, tetapi mahukan perubahan sebenar.” Pada 7 Mac lalu Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan mengumumkan gabungan itu mahu kembali menerajui Putrajaya dengan menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen, bagi memastikan mereka mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa jajaran perpaduan. Katanya, BN tidak mungkin dapat menerajui kerajaan pusat sekiranya bertanding kurang daripada 112 kerusi, iaitu jumlah minimum pembentukan kerajaan.

Share this post: