MIC Pahang nafi jumpa PAS, tegas komited bersama BN
2026-03-19 - 03:01
V Arumugam menegaskan MIC Pahang komited bersama BN dan menolak politik adu domba serta kebencian. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam menafikan laporan bahawa beliau menggadakan pertemuan dengan pimpinan PAS Bentong baru-baru ini. Menyifatkan laporan tersebut sabagai tidak benar dan mengelirukan, Adun Sabai itu menegaskan bahawa beliau komited bersama Barisan Nasional (BN) dan menolak politik adu domba serta kebencian. V Arumugam. “Politik khidmat, bakti dan budi yang diamalkan di Pahang akan terus menjadi pegangan saya,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata. Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana laporan itu diterbitkan pada penghujung Ramadan, bulan yang istimewa bagi umat Islam. Semalam, sebuah portal berita melaporkan PAS Pahang menerima secara terbuka penyertaan MIC dalam Perikatan Nasional (PN) dan telah berhubung dengan pengerusi MIC negeri itu. Pesuruhjayanya Rosli Abd Jabar yang dilaporkan berkata, perkembangan itu menjadi kelebihan kepada PAS Pahang dan petunjuk baik memandangkan PN Pahang berpotensi memperoleh satu kerusi DUN secara percuma. Sementara itu, Speaker DUN Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin berkata Arumugam sudah menyatakan beliau kekal bersama BN dan tidak pernah menimbulkan sebarang isu yang boleh menjejaskan kedudukannya dalam DUN. Kelmarin, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata Majlis Tertinggi gabungan itu sudah meluluskan penyertaan MIC ke dalam PN dan beliau akan bertemu Presiden MIC SA Vigneswaran untuk menyerahkan surat rasmi mengesahkan penyertaan parti berkenaan. Bagaimanapun, Timbalan Presiden MIC M Saravanan menolak dakwaan Takiyuddin dan berkata Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.