TheMalaysiaTime

MIC kini komponen PN, kata Takiyuddin

2026-03-17 - 04:03

Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata surat rasmi kemasukan MIC akan diserahkan kepada Presidennya SA Vigneswaran malam ini. PETALING JAYA: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, mengumumkan permohonan MIC menyertai gabungan itu diluluskan Sabtu lalu. Beliau berkata, surat rasmi itu akan diserahkan kepada Presiden MIC, SA Vigneswaran, malam ini. “Kemasukan MIC diluluskan sejak Disember tahun lalu, namun pada mesyuarat PN Sabtu lalu, kita mengesahkan secara rasmi kemasukan parti berkenaan menjadikan lima parti anggota setakat ini,” katanya menurut Berita Harian selepas Penyampaian Sumbangan Kepada Penggerak PAS Kota Bharu di Kelantan. Terdapat lebih lima parti lain turut memohon untuk menyertai PN, tetapi beliau enggan mendedahkan parti terbabit. Menurutnya, permohonan itu menyaksikan pimpinan baharu PN lebih inklusif kerana jawatan diberikan kepada pelbagai parti. “Jika sebelum ini yang memegang jawatan adalah PAS dan Bersatu, namun kini menyeluruh. Malah MIC yang baru menyertai PN pun mungkin diberi jawatan. “Selain terbuka kepada mana-mana parti, kita juga buka kepada NGO dan ahli bersekutu. “Dalam PN ada tiga kategori, iaitu parti anggota, ahli bergabung NGO atau parti yang mesra kepada PN dan ahli bersekutu terdiri daripada individu.”

Share this post: