TheMalaysiaTime

MIC kekal dalam BN untuk ‘jaga kelangsungan’, kata penganalisis

2026-03-25 - 14:50

MIC mempertimbangkan kemungkinan meninggalkan BN untuk menyertai PN, khususnya selepas perhimpunan agung tahunannya tahun lalu menyerahkan keputusan itu kepada kepimpinan. PETALING JAYA: Penganalisis berpandangan MIC sedang mengambil langkah ‘menjaga kelangsungan’ apabila memutuskan untuk terus kekal dalam Barisan Nasional (BN) buat masa ini. Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, ia juga dilihat sebagai pendekatan parti itu untuk mendepani landskap politik negara yang semakin tidak menentu selain kini tiada lagi parti dominan. Bagaimanapun katanya, tindakan itu tidak jauh berbeza dengan strategi Umno yang masih terbuka bekerjasama dengan parti Melayu lain meskipun berada dalam kerajaan perpaduan. “Malaysia kini sedang beralih ke arah pembentukan gabungan pasca-pilihan raya di mana semua parti cenderung untuk tidak mengikat komitmen awal bagi mengelakkan peluang kerjasama menjadi terhad. “Semua parti masih teragak-agak untuk membuat keputusan awal. Mereka mahu mengekalkan pilihan yang ada supaya selepas pilihan raya, sebarang kerjasama yang dibentuk tidak akan dilihat sebagai tidak berprinsip. “Mungkin ramai yang tidak selesa dengan gabungan pasca-pilihan raya tapi inilah masa depan Malaysia. Jadi tak hairan untuk MIC atau mana-mana parti untuk ‘switch’ dan bekerjasama dengan parti yang menang besar,” katanya kepada FMT. Terdahulu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan dilaporkan masih masih berteka-teki sama ada ia akan menyertai Perikatan Nasional (PN) selepas ini apabila mengatakan parti itu akan kekal bersama BN. Menurutnya, ia tidak menolak PN secara mutlak, tetapi perlu menilai semula kedudukannya memandangkan perbincangan sebelum ini berlaku di bawah kepimpinan yang berbeza. Isu sama ada MIC meninggalkan BN timbul sejak sekian lama khususnya selepas perhimpunan agung parti pada November apabila perwakilan memberi mandat kepada kepimpinan mempertimbangkan langkah itu. Dalam pada itu, penganalisis, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula melihat tindakan MIC dari sudut berbeza dengan menyifatkannya sebagai sebagai langkah terdesak demi kelangsungan politik semata-mata. Katanya, MIC seolah-olah mengakui BN kini merupakan ‘kapal karam’ yang tidak lagi mampu menjamin masa depan parti itu menjelang PRU16. “MIC jelas sedang memikirkan survival politik, bukannya soal prinsip atau kesetiaan. “Mereka sedar mungkin hanya diberi peluang bertanding satu kerusi Parlimen sahaja jika kekal bersama BN pada PRU16. Ini suatu penghinaan kepada parti yang pernah menjadi tonggak dalam kerajaan,” katanya. Tambahnya, sikap ‘berkaki dua perahu’ itu turut menampakkan MIC lebih takut terpadam dari sejarah berbanding berjuang mempertahankan maruah BN. “Keikhlasan MIC bakal dikecam kerana parti yang hanya mengejar relevansi tanpa komitmen mutlak akan dilihat oportunis,” katanya.

Share this post: