TheMalaysiaTime

MIC boleh bangkit semula dalam BN atau berisiko terpinggir, kata penganalisis

2026-03-22 - 02:40

MIC mempertimbangkan kemungkinan meninggalkan BN untuk menyertai PN, khasnya selepas Perhimpunan Agung Tahunannya tahun lalu menyerahkan keputusan itu kepada kepimpinan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat, MIC patut kekal dalam Barisan Nasional (BN) dan membina semula jentera akar umbinya kerana meninggalkan gabungan itu boleh melemahkan lagi kedudukannya yang sudah pun merosot. Mereka berkata, parti itu berisiko kehilangan akses kepada peruntukan, sumber kerajaan dan jawatan penting yang dinikmatinya ketika ini memandangkan BN sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri. Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata, pilihan paling pragmatik buat MIC ialah kekal dalam BN, walaupun parti itu tertekan dengan dominasi Umno dalam pengagihan kerusi dan jawatan. Menurutnya, keutamaan MIC jelas, iaitu membina semula parti dengan mendekati pengundi India secara agresif, memperkenalkan kepimpinan baharu dan memperkukuh daya saing pilihan rayanya. “Hanya dengan kekuatan pilihan raya yang signifikan, MIC boleh mengembalikan kuasa tawar-menawar dengan Umno dan mendapatkan semula kedudukan politiknya dalam PRU akan datang,” katanya kepada FMT. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia yang senada berkata, ahli MIC yang memegang jawatan exco di Johor dan Melaka akan berdepan tekanan politik untuk meletak jawatan, jika parti itu meninggalkan BN. “Secara teknikal, mereka tidak perlu letak jawatan serta-merta, tetapi dari segi politik, tekanan untuk berundur hampir pasti berlaku.” MIC mengekalkan kehadiran terhad dalam beberapa Dewan Undangan Negeri: masing-masing satu kerusi di Pahang dan Melaka serta tiga kerusi di Johor. Di Melaka, Adun Gadek, P Shanmugan merupakan exco belia, sukan dan NGO. Parti itu sedang mempertimbangkan kemungkinan meninggalkan BN untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), khasnya selepas Perhimpunan Agung Tahunan tahun lalu menyerahkan keputusan berkenaan untuk ditentukan pucuk pimpinan. Minggu lalu, Setiausaha agung PN, Takiyuddin Hassan dilaporkan mendakwa MIC secara rasminya menyertai gabungan itu, tetapi dinafikan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, yang berkata isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat pada 25 Mac ini. Sivamurugan berkata, faktor masa memainkan peranan penting memandangkan Umno sedang bangkit semula dan boleh menyebabkan MIC semakin terpinggir, sebaik saja ia meninggalkan BN. “Buat masa ini, lebih baik kekal dalam BN dan berunding dengan Pengerusi BN, Zahid Hamidi berhubung kerusi, peranan dan perwakilan,” katanya sambil menambah blok pembangkang lemah ketika ini akibat perpecahan dalam Bersatu dan PN. Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, prospek BN yang semakin baik juga memihak kepada MIC untuk kekal bersamanya. Beliau merujuk tanda-tanda konsolidasi dalam Umno, termasuk kepulangan Khairy Jamaluddin yang dipecat pada 2023 kerana melanggar disiplin parti, serta bekas naib presidennya, Hishammuddin Hussein yang berusaha menarik balik penggantungan enam tahunnya. “BN yakin ia akan muncul blok dominan selepas PRU16, jadi lebih baik MIC kekal bersama parti dominan. Jika ia memilih PN, MIC akan kekal sebagai pembangkang dan jumlah kerusi diperolehnya mungkin jauh lebih sedikit berbanding apa yang boleh ditawarkan BN.”

Share this post: