TheMalaysiaTime

Meski berdepan cabaran, dividen 6.15% KWSP ‘memberangsangkan’, kata ahli ekonomi

2026-03-01 - 00:43

KWSP mengumumkan dividen 6.15% bagi akaun konvensional dan syariah untuk 2025, sedikit rendah berbanding 6.3% bagi kedua-dua akaun pada 2024. PETALING JAYA: Dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah dan kenaikan sederhana di Bursa Malaysia menyebabkan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susut kepada 6.15% bagi 2025 berbanding 6.3% tahun sebelumnya. Bagaimanapun, ahli ekonomi menyifatkan pulangan itu kekal memberangsangkan dalam keadaan pasaran global tidak menentu. Barjoyai Bardai dari Malaysia University of Science and Technology berkata turun naik dolar AS mengurangkan secara ketara pulangan keseluruhan KWSP. “Lebih 40% portfolio KWSP dilaburkan dalam aset luar negara. Walaupun pelaburan itu mencatat pulangan besar, kadar pertukaran dolar AS yang lebih lemah mengurangkan keuntungan bersih,” katanya kepada FMT. Beliau berkata ringgit mengukuh kira-kira 10.1% berbanding dolar AS pada 2025, sekali gus mengurangkan nilai pendapatan luar negara apabila ditukar semula kepada mata wang tempatan. Semalam, KWSP mengumumkan dividen 6.15% bagi akaun konvensional dan syariah untuk 2025, sedikit rendah berbanding 6.3% bagi kedua-dua akaun pada 2024. Dana persaraan itu akan mengagihkan sejumlah RM79.6 bilion dividen kepada ahlinya – RM67.1 bilion kepada pemegang akaun konvensional dan RM12.5 bilion kepada pemegang akaun syariah. Barjoyai berkata keuntungan pasaran di Bursa Malaysia pada 2025 juga kurang kukuh berbanding 2024, apabila jumlah dagangan meningkat kira-kira 2% tahun lalu berbanding lebih 10% pada tahun sebelumnya. “Jumlah dagangan lebih rendah menjejaskan pulangan keseluruhan memandangkan lebih 36% portfolio KWSP dilaburkan dalam ekuiti tempatan. “Walaupun keuntungan masih baik, ia lebih rendah berbanding 2024,” katanya. Pulangan sangat memberangsangkan Yeah Kim Leng dari Sunway University menyifatkan dividen 6.15% sebagai ‘sangat memberangsangkan’ dan secara umumnya selari dengan purata sejarah KWSP iaitu sekitar 6%. “Ia kekal kompetitif berbanding dana pencen luar dan tempatan, serta dana insurans dan pelaburan lain,” katanya. Beliau merujuk kepada dividen 5.75 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2025 oleh Permodalan Nasional Bhd serta agihan keuntungan 3.25% bagi 2024 oleh Lembaga Tabung Haji. Yeah berkata purata kadar inflasi keseluruhan negara 1.4% pada 2025, bermakna dividen 6.15% KWSP diterjemahkan kepada pulangan terlaras inflasi kira-kira 4.75%. “Tahap pulangan sebenar ini bermakna kuasa beli pencarum dapat dipelihara, bukan terhakis akibat inflasi,” katanya. Walaupun pasaran kewangan tidak stabil susulan ketegangan geopolitik dan konflik bersenjata, beliau berkata pulangan tidak terjejas seteruk yang dijangka. “KWSP berjaya mengelak sebarang pulangan negatif walaupun berdepan konflik global,” katanya.

Share this post: