TheMalaysiaTime

Mesir rasmi sekat Roblox

2026-02-02 - 07:46

Mesir bertindak menyekat Roblox kerana mempromosi tingkah laku menyimpang kepada kanak-kanak. (Gambar AFP) ISTANBUL: Pihak berkuasa Mesir menyekat secara rasmi platform permainan dalam talian Roblox atas kebimbangan terhadap kandungan didakwa mempromosi tingkah laku berbahaya dalam kalangan kanak-kanak, lapor Anadolu Ajansi memetik akhbar tempatan. Timbalan Ketua Majlis Tertinggi Kawal Selia Media, Essam al-Amir, berkata keputusan telah dikeluarkan menyekat permainan elektronik popular itu, yang dikenali secara meluas dalam kalangan pengguna muda sebagai Roblox. Beliau berkata demikian semasa sesi Dewan Senat yang diadakan bagi membincangkan risiko berkaitan penggunaan telefon bimbit dan aplikasi digital oleh kanak-kanak, menurut akhbar Youm7. Majlis itu telah mengesyorkan tindakan diambil untuk menyekat laman sesawang yang mempromosikan ‘tingkah laku menyimpang atau memudahkan penyebarannya’, serta platform yang menyiarkan permainan elektronik yang menggalakkan keganasan, kata al-Amir. Beliau berkata, majlis itu sedang menyelaraskan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekomunikasi Kebangsaan untuk melaksanakan langkah teknikal diperlukan bagi menguatkuasakan larangan berkenaan. Langkah diambil Mesir itu menyusuli tindakan serupa di rantau berkenaan. Pada September dan Ogos 2025, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, dan Oman mengenakan sekatan terhadap Roblox selepas amaran mengenai risiko berpotensi kepada kanak-kanak. Di peringkat antarabangsa, Roblox telah menghadapi penelitian yang semakin meningkat. Pada Ogos 2025, negeri Louisiana di Amerika Syarikat telah memfailkan saman terhadap Roblox, dengan menuduh syarikat itu memudah cara eksploitasi kanak-kanak. Menurut laporan BBC, Roblox menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai ‘palsu’. Roblox merupakan platform permainan interaktif percuma yang dicipta hampir dua dekad lalu dan menjadi sangat popular dalam kalangan kanak-kanak serta remaja di seluruh dunia.

Share this post: