Mereka hanya mahu ‘habiskan pengaruh’ saya dalam bola sepak, kata TMJ
2026-03-07 - 16:13
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim ragu-ragu tentang motif pertemuan dengan penyokong bola sepak yang tuntut penjelasan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia bertemu dengan penyokong bola sepak ‘bila-bila masa, di mana sahaja’ bagi memberikan penjelasan terperinci mengenai krisis dihadapi pasukan kebangsaan berhubung penggantungan tujuh pemain ‘warisan’ kelahiran luar negara. Beliau berkata demikian sebagai respons kepada seorang pengguna X yang menuntut penjelasan berhubung keputusan mahkamah sukan antarabangsa yang mengekalkan hukuman gantung 12 bulan ke atas tujuh pemain tersebut, serta denda yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Tunku Mahkota Johor berkata, baginda menyerahkan kepada penyokong untuk menetapkan masa dan lokasi pertemuan itu, walaupun ragu-ragu mengenai motif pertemuan itu. “... kebanyakan bukan kisah apa betul dan benar. Mereka lebih berminat nak habiskan pengaruh saya dalam industri bolasepak tempatan, itu sahaja,” katanya. Minggu lepas, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain warisan yang diserapkan ke dalam skuad Harimau Malaya, selepas bersetuju bahawa dokumen yang menyokong proses naturalisasi mereka terbukti palsu. Sehubungan itu, penyokong bola sepak menuntut penjelasan yang jelas dan telus berhubung isu tersebut. Tujuh pemain terbabit, iaitu Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero, digantung daripada menyertai perlawanan rasmi namun tidak dihalang daripada terlibat dalam kegiatan berkaitan bola sepak yang lain.