Menteri sumber manusia berat sebelah dalam pertikaian bantuan pekerja bank, putus mahkamah
2026-03-17 - 08:24
Mahkamah Tinggi berkata menteri sumber manusia melanggar amanah yang diletakkan pada jawatannya dengan libatkan diri dalam pertikaian itu dan sokong Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu. KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan menteri sumber manusia gagal mengambil pendirian neutral apabila beliau campur tangan dalam pertikaian perusahaan antara bank-bank komersial dan kesatuan sekerja berhubung pembayaran bantuan perayaan Hari Raya, dua tahun lalu. Hakim Aliza Sulaiman berkata dengan berbuat demikian, menteri tersebut telah masuk campur dalam pertikaian itu dan dilihat menyokong cadangan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu (MCBA) mengenai pembayaran bantuan perayaan secara ex-gratia bagi 2024. “Tindakan menteri menunjukkan secara jelas berat sebelah, apabila beliau secara tidak wajar menyebelah persatuan tersebut, sekali gus menjejaskan peranan kementerian sebagai penimbang tara yang neutral,” katanya ketika membenarkan permohonan semakan kehakiman Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE). Aliza berkata beliau telah meneliti pekeliling dan kenyataan, terutamanya yang dikeluarkan oleh Hong Leong Bank, Maybank, dan United Overseas Bank (UOB). Beliau mendapati walaupun menteri menafikan adanya sebarang ‘mesyuarat rahsia’ dengan persatuan tersebut, beliau terbukti telah mengadakan pertemuan untuk membincangkan isu bantuan perayaan ketika perkara itu sedang dalam proses rundingan damai di Jabatan Perhubungan Perusahaan. Dalam penghakimannya, Aliza berkata menteri telah melanggar amanah yang diletakkan pada jawatannya dengan melibatkan diri dalam pertikaian itu dan menyokong persatuan berkenaan. “Menteri telah menggugat proses statutori yang dirangka untuk penyelesaian yang saksama dan melanggar objektif Akta Perhubungan Perusahaan 1967,” katanya. Beliau menambah bahawa menteri telah menunjukkan sikap berat sebelah dan keputusannya untuk merujuk pertikaian perusahaan itu ke Mahkamah Perusahaan adalah tidak munasabah. Pertikaian mengenai bantuan perayaan itu menyusul selepas rundingan damai oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan pada Feb dan Mac 2024 gagal, yang membawa kepada semakan kes tersebut pada 16 April tahun yang sama. Kesatuan itu memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar sama ada tindakan menteri merujuk kes ke Mahkamah Perusahaan mematuhi Seksyen 26(3) Akta Perhubungan Perusahaan, yang menghendaki menteri mempertimbangkan mekanisme dalaman yang ada terlebih dahulu. Kesatuan tersebut menuntut pembayaran sebulan gaji bagi 2024, selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, namun persatuan tersebut enggan, yang kemudiannya membawa kepada tindakan perusahaan. Persatuan itu kemudian merujuk perkara tersebut untuk proses pendamaian dengan jabatan berkenaan. Bagaimanapun, menteri dikatakan telah bertemu dengan wakil persatuan, dan susulan itu persatuan bersetuju untuk membayar bonus setengah bulan gaji. Peguam N Sivabalah dan Chua Kim Lin mewakili MCBA, manakala Ravi Nekoo dan Arvin Kumar Mohan mewakili NUBE. Ravi berkata menteri dan MCBA telah memfailkan rayuan.