TheMalaysiaTime

Menteri seru perpaduan, kesederhanaan sempena Aidilfitri

2026-03-19 - 16:20

Menteri-menteri Aaron Ago Dagang, R Ramanan dan Armizan Mohd Ali tekankan pentingnya memupuk dan memelihara nilai perpaduan, kebersamaan dan silaturahim dalam sambutan Aidilfitri. KUALA LUMPUR: Beberapa menteri menyampaikan ucapan Aidilfitri dengan menekankan kepentingan perpaduan, nilai kekeluargaan dan kesederhanaan dalam masyarakat majmuk Malaysia. Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, Aidilfitri merupakan platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta silaturahim antara penganut pelbagai agama. “Hari Raya merupakan platform terbaik untuk mengeratkan hubungan jiran tetangga serta menjadi medan membina keharmonian dalam masyarakat,” katanya menerusi hantaran Facebook malam ini. Beliau berkata, kekuatan Malaysia terletak pada sikap saling menghargai dan menyokong antara satu sama lain. “Marilah kita mengekalkan nilai ini dan tidak membiarkan pandangan negatif, stereotaip atau prasangka mempengaruhi kita. Percaya antara satu sama lain adalah asas perpaduan dan keharmonian yang kukuh,” katanya. Sementara itu, Menteri Sumber Manusia R Ramanan pula berkata, Aidilfitri mengingatkan rakyat untuk kembali kepada nilai asas kehidupan seperti keluarga, kasih sayang dan kebersamaan. Beliau turut menekankan keunikan tradisi rumah terbuka yang menjadi simbol perpaduan tanpa mengira agama dan latar belakang. “Inilah keindahan sebenar Malaysia apabila tangan dihulur untuk bersalaman, dan senyuman dikongsi bersama,” katanya. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, Syawal perlu diraikan dengan kesederhanaan, keinsafan dan keikhlasan. “Aidilfitri bukan sekadar dirai dengan kegembiraan, tetapi menjadi ruang untuk kita kembali kepada fitrah, mengeratkan silaturahim serta saling memaafkan dengan hati yang tulus,” katanya. Beliau berkata, Ramadan yang dilalui sebelum ini merupakan madrasah terbaik dalam membentuk jiwa dan memperkukuh iman. “Semoga Syawal yang mulia ini mengikat hati-hati kita dengan ukhuwah yang lebih erat dan menyatukan kita dalam kasih sayang berpanjangan,” katanya.

Share this post: