Menteri KPDN nafi Sabah kurang bekalan bahan api, hanya lewat dihantar
2026-03-24 - 09:00
Menteri KPDN Armizan Mohd Ali bertemu dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor di Menara Kinabalu hari ini, bentang hasil keputusan mesyuarat JTPAP. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Armizan Mohd Ali menafikan dakwaan Sabah berdepan kekurangan bekalan petrol, diesel dan LPG, sebaliknya menjelaskan hanya berlaku kelewatan penghantaran di beberapa lokasi akibat isu logistik dan peningkatan permintaan musim perayaan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata, situasi bekalan bahan api dalam negara kekal stabil dan mencukupi, malah lebih baik berbanding beberapa negara lain di rantau ini yang berdepan gangguan bekalan. “Sehingga kini tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api petrol, diesel dan LPG dalam negara,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial. “Perkara yang timbul dan diuar-uarkan adalah isu terpencil berhubung logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya dalam tempoh musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.” Beliau menambah, isu itu telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar, justeru rakyat tidak perlu melakukan pembelian secara panik. Dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor di Menara Kinabalu, beliau turut membentangkan hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang diaktifkan baru-baru ini. Katanya, JTPAP berfungsi sebagai platform penyelarasan operasi antara pelbagai agensi penguat kuasa bagi memperkukuh tindakan membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api bersubsidi, khususnya di kawasan sempadan termasuk Sabah dan Sarawak. “Risiko ketirisan semakin meningkat berikutan konflik di Asia Barat dan jurang harga yang tinggi antara bahan api bersubsidi dalam negara dengan harga pasaran dan harga runcit di negara-negara jiran,” katanya. Armizan turut mengingatkan bahawa sebarang penjualan dan pengisian bahan api ke dalam bekas selain tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Beliau turut mengingatkan pengusaha stesen minyak agar sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa. “KPDN tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya. “Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan kepada platform aduan KPDN sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.”