Menelusuri warisan Melayu Cocos, melodi Syawal yang berbeza di Tawau
2026-03-22 - 03:21
Muhammad Arief Ab Razak, 25 (tengah) bersama komuniti Melayu Cocos yang memperagakan baju tradisi mereka iaitu ‘kebayak’. (Gambar Muhammad Arief Ab Razak) PETALING JAYA: Di celah keriuhan persiapan raya di seluruh negara, sebuah perkampungan di pinggir pekan Tawau menyimpan melodi Syawal yang berbeza. Di Kampung Balung Cocos yang menghimpunkan komuniti Melayu Cocos teramai di Sabah — hari raya bukan sekadar detik lebaran, ketupat dan rendang, tetapi tentang warisan dan jati diri yang dipertahankan merentasi zaman. Bagi komuniti Melayu Cocos, malam ke-15 dan ke-21 Ramadan adalah waktu yang dinanti. Di sini, tradisi ‘Malam Ketupat’ dan ‘Malam Pasung’ dihidupkan dengan penuh muafakat. “Malam ke-15 dan ke-21 Ramadan itu kami panggil sebagai Malam Ketupat dan Malam Pasung. Kami akan buat ketupat, pasung dan bawa ke masjid untuk disedekahkan kepada orang ramai. Ia sebagai tanda peringatan bahawa Ramadan sudah mahu berakhir dan Syawal bakal menjelang,” kongsi Muhammad Arief Ab Razak, anak muda yang berketurunan generasi ketujuh Melayu Cocos. Ketupatnya disediakan dengan campuran kacang yang memberikan tekstur dan rasa tersendiri. Kehadirannya tidak sempurna tanpa padanan juadah ikonik masyarakat Melayu Cocos, iaitu ayam begana. Ayam begana menonjolkan kelazatan yang mendalam, hasil kelapa sangrai dan santan pekat yang dimasak lama sehingga kering. Adunan rempah bukan sekadar memikat selera, ia menjadi simbol ketahanan identiti. Selesai menjamu selera, suasana rumah bertukar riuh dengan tradisi ‘hambur duit’. Di zaman serba digital ini, ketika ramai lebih selesa dengan kod QR atau sampul raya, warga Balung Cocos memilih untuk menghambur wang kertas ke udara untuk direbut. Malam ke-15 yang dipanggil sebagai ‘malam ketupat’ bagi memperingati bahawa Ramadan semakin hujung dan dan Aidilfitri semakin hampir. (Gambar Muhammad Arief Ab Razak) Bagi mereka, menghambur duit bukan soal menunjuk kekayaan, tetapi satu bentuk hiburan yang mengeratkan silaturahim. Gelak tawa kanak-kanak yang berebut wang kertas menjadi latar yang menghidupkan suasana pagi raya, menyatukan yang tua dan muda dalam keriuhan. “Tradisi ‘hambur duit’ yang memeriahkan suasana raya di Balung sebenarnya mempunyai akar sejarah yang mendalam iaitu sebagai simbolik limpahan rezeki buat sanak-saudara yang berkumpul,” katanya. Keunikan Melayu Cocos di Kampung Balung, Tawau, Sabah semakin terserlah apabila berbicara. Dialeknya gabungan bahasa Melayu lama, pengaruh Jawa, dan istilah Barat yang diucapkan dengan intonasi yang unik, dengan suntikan dialek Sabah. Di pagi raya, seorang ibu akan mengusik anak buah, “Dah balok anak-anak sekarang ya. Dulu tidak gini,” yang membawa maksud “sudah besar sekarang anak-anak, dulu tidak seperti ini” dalam nada mendayu. Bagi yang masih membujang, usikannya lebih berkias. “Anak siapa ini? Pandai berahi bah suda sekarang, apa dah ada tunangan?” Dialek ini menghubungkan mereka dengan susur galur dari Kepulauan Cocos (Keeling) di Australia. Busana raya mereka juga mempunyai sejarah luar biasa. Pada abad ke-19, pakaian ini dipakai untuk acara formal, dan kini digunakan dalam upacara keramaian untuk memelihara tradisi. Kaum lelaki segak dengan baju ‘baskat’ yang dipadankan dengan kain sarung sebagai samping dan skarf leher. Menariknya, corak kain sarung dan skarf ini dikatakan mempunyai pengaruh unsur Maori dari Polynesia — satu bukti visual betapa luasnya jaringan nenek moyang mereka dahulu. Identiti Barat dalam budaya mereka paling jelas terlihat pada muzik dan tarian. Tarian ‘tap dance’ atau dansa Cocos yang mempunyai unsur Scotland adalah warisan daripada pengaruh keluarga John Clunies-Ross yang pernah memerintah pulau tersebut. Juadah wajib yang sentiasa dinanti adalah ayam begana, menyelerakan apabila dipadankan bersama ketupat atau nasi panas-panas. Menyedari khazanah ini ‘permata’ yang perlu dijaga, kerajaan Sabah giat menjalankan memperkenalkan budaya ini melalui Festival Kebudayaan Tawau. Dari adat perkahwinan yang unik sehingga ke Tarian Melenggok Cocos yang penuh gemalai, semuanya diangkat kembali agar dikenali dunia. “Malah, kelas-kelas tarian juga diwujudkan bagi memastikan anak-anak muda tidak kekok melangkah mengikut rentak nenek moyang,” katanya. Bagi Arief, tanggungjawabnya sebagai anak muda bukan sekadar mewarisi adat. Dia tegar merakam keunikan budaya keturunannya untuk media sosial. Baginya, Kampung Balung Cocos rentetan sejarah panjang penghijrahan nenek moyang ke bumi Sabah pada 1948. Beliau berhasrat untuk menjalin silaturrahim dengan keluarga di Kepulauan Cocos. “InsyaAllah satu hari nanti saya akan bawa keluarga ke sana dan kalau boleh mencari lebih mendalam berkenaan sejarah.” Syawal di Kampung Balung Cocos bukan sekadar kemenangan selepas sebulan berpuasa. Ia adalah sambutan sebuah komuniti yang mengekalkan jiwa mereka, meskipun telah berlayar beribu batu jauhnya dari tempat asal-usul mereka.