Menantu Hadi harap Dr Sam jadi ketua pembangkang
2026-03-16 - 01:44
Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar lebih layak menggantikan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang, untuk keselarasan gerak kerja dan memastikan tidak ada pendirian berbeza di Parlimen, kata Ketua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ketua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad berharap Ahli Parlimen Kemaman Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih ketua pembangkang bagi memastikan keselarasan gerak kerja pembangkang di Parlimen. Zaharudin berkata keselarasan itu penting memandangkan Samsuri juga adalah pengerusi Perikatan Nasional (PN), sekali gus memastikan tidak ada pendirian berbeza berbangkit di Parlimen. “Ini posisi ketua pembangkang, tetapi posisi perdana menteri saya tetap konsisten dan sependapat dengan Mursyidul Am Hashim Jasin bahawa (Timbalan Presiden) Tuan Ibrahim Tuan Man atau (Naib Presiden) Idris Ahmad adalah lebih layak, justeru ketua pembangkang dalam Parlimen tidak melibatkan pentadbiran negara atau pentadbiran kerajaan pusat,” katanya di Facebook. Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS Hadi Awang mengulas kenyataan Hamzah Zainudin bahawa kedudukan jawatan ketua pembangkang di Parlimen bergantung kepada sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang dan bukan ditentukan oleh mana-mana parti secara bersendirian. Ketua pembangkang itu berkata peranan tersebut memerlukan kerjasama erat semua wakil rakyat dalam blok pembangkang bagi memastikan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Mengulas lanjut, Zaharudin turut membuat perbandingan antara Hamzah dan Samsuri dengan menyifatkan menteri besar Terengganu itu lebih layak menjawat jawatan berkenaan. “Bagi saya jauh baik Samsuri jadi ketua pembangkang kerana penting keselarasan gerak kerja. Jika tak, PN buat keputusan A tiba-tiba di Parlimen, ketua pembangkang buat keputusan B,” katanya yang turut mencadangkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Pada 14 Mac lalu, Samsuri berkata pengganti Hamzah yang disahkan dari PAS akan diumumkan hujung bulan ini. Samsuri berkata PN telah mempunyai calon penggantinya namun masih ada beberapa proses perlu dilalui di peringkat parti. Kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang menjadi persoalan selepas beliau dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis parti itu dan dakwaan mencabar Presiden Muhyiddin Yassin. Mesyuarat PN pada 19 Feb lalu turut memutuskan PAS mengambil alih jawatan itu namun Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan belum ada pemakluman mengenainya. Hamzah dilantik sebagai ketua pembangkang pada 2022 selepas kerajaan perpaduan dibentuk, susulan cadangan oleh PAS, meskipun Muhyiddin memegang jawatan pengerusi PN ketika itu.