‘Melalak’: Pemuda PKR pertahan Anwar, dakwa isu dimanipulasi
2026-03-02 - 08:14
Kamil Munim berkata Pemuda PKR menolak sebarang naratif yang cuba menggambarkan kerajaan sebagai lemah atau tidak bertindak. PETALING JAYA: Pemuda PKR mempertahankan penggunaan istilah ‘melalak’ oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu penghinaan terhadap al-Quran baru-baru ini. Ketuanya, Kamil Munim, berkata Pemuda PKR menolak sebarang naratif yang cuba menggambarkan kerajaan sebagai lemah atau tidak bertindak. “Pemuda PKR menyeru semua pihak menghentikan manipulasi isu ini demi kepentingan politik sempit. Ruang sewajarnya perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan tanpa tekanan atau campur tangan yang boleh mengganggu proses keadilan. “Sebagai negara majmuk, kestabilan dan keharmonian nasional tidak boleh dikorbankan demi retorik murahan yang mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, istilah itu yang digunakan Anwar perlu difahami dalam konteks sebenar dan tidak dipetik secara terpisah bagi membentuk persepsi yang mengelirukan. “Merujuk kepada sikap segelintir pihak yang tergesa-gesa menuduh kerajaan kononnya gagal bertindak, sedangkan proses siasatan dan penguatkuasaan sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang. Kenyataan perdana menteri bukanlah serangan terhadap mana-mana individu atau kelompok. “Sebaliknya, ia merupakan peringatan tegas bahawa tuduhan melulu, tohmahan tidak berasas dan permainan persepsi politik hanya akan mengeruhkan suasana serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara,” katanya. Kamil berkata, tindakan pihak berkuasa jelas membuktikan kerajaan tidak berdiam diri memandangkan Malaysia sebuah negara hukum di mana setiap tindakan mesti berlandaskan peruntukan undang-undang, bukan tekanan emosi, desakan politik atau tuntutan bersifat populis. “Dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian antara kaum, tindakan yang tergesa-gesa tanpa proses sah bukan sahaja mencabul prinsip keadilan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan yang lebih besar. Ketegasan mesti disertai kebijaksanaan,” katanya. Semalam, Anwar dilaporkan menggunakan perkataan itu bagi menyangkal dakwaan konon tiada tindakan diambil terhadap individu yang didakwa memijak al-Quran. Pada 25 Feb lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak kitab suci itu.