TheMalaysiaTime

Mekanik rugi hampir RM250,000 terperdaya skim pelaburan tak wujud

2026-03-15 - 06:24

Polis berkata lelaki 64 tahun terima mesej daripada individu tidak dikenali yang kemudian diyakinkan untuk membuat beberapa transaksi deposit wang ke akaun bank diberikan suspek bagi tujuan pelaburan. KUANTAN: Seorang mekanik kerugian hampir RM250,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat menerusi WhatsApp. Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata lelaki berusia 64 tahun itu pada awalnya menerima mesej daripada individu tidak dikenali, yang kemudian diyakinkan untuk membuat beberapa transaksi deposit wang ke akaun bank diberikan suspek bagi tujuan pelaburan itu. “Justeru, dalam tempoh 2 Sept hingga 3 Nov 2025 mangsa membuat sebanyak enam transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza menggunakan wang simpanannya. “Namun, selepas semua transaksi dibuat, lelaki itu tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dan individu terbabit juga gagal dihubungi oleh mangsa, yang kemudian menyedari dirinya ditipu,” katanya dalam kenyataan. Yahaya berkata, mangsa membuat laporan di IPD Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Share this post: