MCA gesa Terengganu pertimbang semula tutup pusat karaoke 10 malam
2026-02-28 - 11:24
Langkah menyingkatkan waktu operasi pusat karaoke boleh menjejaskan hasil pendapatan, aliran tunai serta peluang pekerjaan, menurut MCA Terengganu. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: MCA Terengganu menggesa kerajaan negeri agar mengkaji semula keputusan terbarunya untuk menyeragamkan masa tamat operasi pusat karaoke di seluruh negeri pada 10 malam. Ketua MCA Terengganu Monna Ong mengambil maklum tanggungjawab kerajaan dalam memelihara ketenteraman awam serta menjawab aduan penduduk. Bagaimanapun, beliau menegaskan, dasar awam perlu mengimbangi kebimbangan masyarakat dengan perlindungan sumber pendapatan. Langkah ‘pukul rata’ ini, katanya, mungkin membawa impak negatif terhadap perusahaan kecil dan sederhana. “Waktu petang/malam lazimnya merupakan waktu puncak bagi pengusaha karaoke, dan langkah menyingkatkan waktu operasi boleh menjejaskan hasil pendapatan, aliran tunai, serta peluang pekerjaan. “Keputusan dasar sepatutnya menyokong, bukannya membebankan perusahaan tempatan,” katanya dalam kenyataan. Ong turut menyentuh mengenai larangan penuh operasi pusat karaoke oleh kerajaan negeri sepanjang Ramadan. Walaupun amalan keagamaan harus dihormati, katanya, langkah kawal selia dalam sesebuah masyarakat majmuk mesti mengambil kira hak dan kepentingan wajar komuniti lain. Tambahnya, penangguhan operasi secara menyeluruh itu sepatutnya didahului dengan rundingan yang lebih meluas bagi mengelakkan kesempitan ekonomi yang tidak seimbang. Ong turut menggesa libat urus yang berstruktur diadakan bersama wakil industri, badan perdagangan, serta pemegang taruh sebelum dasar sedemikian dilaksanakan. Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah semalam berkata, pusat karaoke di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kini hanya dibenarkan beroperasi hingga 10 malam. Beliau berkata, arahan tersebut tidak hanya terpakai ketika Ramadan, tetapi juga pada bulan-bulan lain sepanjang tahun, lapor Harian Metro. Wan Sukairi berkata, PBT telah diarahkan untuk menyelaraskan operasi karaoke di seluruh negeri, khususnya berhubung waktu operasi.