MBSP tarik permit gerai mercun terbakar di P Pinang
2026-03-23 - 01:41
Tangkap layar video memaparkan orang ramai bertempiaran, manakala pekerja menurunkan penutup gendela gulung selepas sebuah gerai jualan mercun dan bunga api terbakar di Taman Pekaka. PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menarik balik permit sebuah gerai jualan mercun dan bunga api terbabit letupan serta kebakaran di Taman Pekaka, Nibong Tebal, semalam. Datuk Bandar Seberang Perai, Baderul Amin Abdul Hamid, berkata selain pembatalan permit, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan ke atas gerai mercun dan bunga api lain di kawasan sekitar. “Kami memandang serius kes ini dan keutamaan kami adalah memastikan keselamatan awam melalui pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat,” katanya menurut Berita Harian. Beliau berkata, gerai mercun dan bunga api yang terletak bertentangan restoran Nasi Kandar Naseer itu mempunyai permit sah bermula 19 Feb lalu hingga esok. “MBSP akan memperketatkan lagi syarat permit, termasuk mewajibkan setiap gerai dilengkapi alat pemadam api, mempunyai perlindungan insurans sah serta mematuhi keperluan keselamatan tambahan yang ditetapkan dari semasa ke semasa.” Sebuah gerai jualan mercun dan bunga api di Taman Pekaka musnah dalam kebakaran awal pagi semalam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tetapi sebuah motosikal Yamaha Y15 mengalami kerosakan sekitar 90%. Kebakaran itu turut merebak ke tiga unit pendingin hawa di luar sebuah rumah berhampiran. Susulan itu, Pemuda Bersatu Nibong Tebal menggesa polis menjelaskan sama ada permit jualan bunga api sudah dikeluarkan kepada gerai terbabit.